Sorting by

×

MELAKA BANGUNKAN DATA RAYA TVET

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDA HILIR 21 April – Kerajaan Negeri bakal mempercepatkan pembangunan Data Raya TVET sebagai usaha memperkukuh tadbir urus bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, data raya itu bakal menjadi pusat rujukan bersepadu yang menghimpunkan data pendidikan, latihan dan keperluan industri.

“Selain itu, seiring hala tuju TVET negeri, kerajaan menetapkan sasaran kebolehpasaran graduan melebihi 95 peratus, di samping memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama industri serta peluasan bidang TVET dalam teknologi baharu seperti automasi digital, Kecerdasan Buatan dan teknologi hijau.

“Langkah ini penting bagi memastikan tenaga kerja yang dilahirkan kekal relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri untuk jangka masa panjang.

“Pendekatan kerajaan negeri jelas iaitu latihan mesti selari dengan keperluan industri. Sudah tiba masanya kita sama-sama berfikir secara tiga dimensi untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berbakat, tetapi bersedia menguasai teknologi masa hadapan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi TVET Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, pembangunan TVET juga perlu bergerak seiring dengan agenda pelaburan negeri, justeru Invest Melaka Berhad diseru terus memainkan peranan secara lebih proaktif sebagai one-stop centre, bagi memudah cara urusan pelaburan, menyelesaikan isu industri serta memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU JADI ‘TALENT HUB’ KERJAYA TEKNIKAL, BERKEMAHIRAN TINGGI
Next post MELAKA ANJUR KONVENSYEN DAN KARNIVAL KERJAYA JUN INI