
MELAKA ANJUR KONVENSYEN DAN KARNIVAL KERJAYA JUN INI
BANDA HILIR 21 April – Melaka bakal menganjurkan Konvensyen dan Karnival Kerjaya Negeri Melaka 2026 pada Jun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, konvensyen dan karnival itu bertujuan menghimpunkan semua pemegang taruh dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Jelas beliau, selain membuka peluang kerjaya, ia juga menjadi platform untuk merungkai isu dan cabaran, serta merangka resolusi berkaitan hala tuju pembangunan TVET negeri.
“Konvensyen dan Karnival Kerjaya Negeri Melaka 2026 ini bakal menjadi platform penting bagi merangka hala tuju pembangunan TVET secara lebih strategik dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi TVET Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta lain-lain kenamaan.
Majlis apresiasi itu diadakan sebagai penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memajukan TVET di negeri Melaka, termasuk institusi latihan, agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti.
Sementara itu, Khaidhirah memaklumkan, disasarkan 10,000 peserta dan pengunjung bakal memeriahkan konvensyen dan karnival kerjaya itu yang berlangsung selama dua hari.
Jelasnya, pelbagai pengisian menarik disusun, antaranya pameran dan pertandingan, selain turut diadakan libat urus dan konvensyen bagi membincangkan hala tuju TVET di Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


