Sinar untuk ibu tunggal

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PANTAI KUNDOR 25 Julai – Ibu tunggal yang menyara keluarga dengan mengambil upah memotong rumput bersyukur dan lega menerima bantuan mesin rumput baharu, hari ini.

Salbiah Tamby, 54, berkata dia berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan di atas sumbangan itu.

Dia pada mulanya buntu apabila mesin rumput digunakan sejak tiga tahun lalu untuk memotong rumput di rumah penduduk sekitar Tangga Batu dan Pantai Kundor rosak teruk dua minggu lalu.

SALBIAH menerima kit makanan daripada Nor Azman di kediamannya.

Kesengsaraan itu bertambah perit berikutan kekurangan peluang kerja memotong rumput akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak awal Jun lalu hingga sekarang.

“Kos untuk baiki mesin itu memerlukan belanja besar sedangkan saya tidak mampu mengupah mekanik menjalankan kerja itu dan mendapatkan alat ganti.

“Jadi saya terpaksa membuat kerja kampung yang lain semata-mata untuk memastikan dapur sentiasa berasap,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Tangga Batu.

Ibu kepada enam anak berusia 15 hingga 29 tahun itu berkata, dia menerima upah antara RM50 hingga RM100 bergantung kepada keluasan kawasan yang dimesin dan keadaan rumput yang dipotong.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Datuk (Nor Azman) kerana sudi membantu saya terus berusaha mencari rezeki untuk anak-anak,” katanya.

Nor Azman berkata, beliau berdoa agar Salbiah dimurahkan rezeki dan mampu menjalankan tugas memotong rumput dengan lebih cekap sejajar dengan keupayaan tinggi mesin berkenaan.

“Saya amat kagum dengan semangat tinggi Salbiah berusaha demi kelangsungan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.

“Selain bantuan untuk Salbiah, kami juga menghulurkan sumbangan untuk ibu tunggal yang lain, terutama bahan makanan dan peralatan pembuatan kuih untuk dijual,” katanya.

Selain itu, sumbangan peralatan turut diberikan kepada suri rumah yang mengusahakan pembuatan sambal dan kerepek ubi, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

503
Kongsi :
Previous post Masih ada ruang fiskal untuk terus bantu rakyat – Muhyiddin
Next post ‘Spiderman’ jual pati minuman di Pantai Puteri
Ubah saiz-+=