Sindiket jual darjah kebesaran palsu Melaka tumpas

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 11 Ogos – Dua lelaki antara 34 individu ditahan dipercayai terbabit dalam sindiket pemalsuan darjah kebesaran kerajaan negeri yang dijual pada harga RM50,000 hingga RM100,000.

Beberapa siri serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka menahan semua suspek berusia antara 26 hingga 70 tahun di negeri ini, Kuala Lumpur dan Selangor dalam operasi khas bermula 22 Februari hingga 29 Mac lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kejayaan menumpaskan sindiket itu bermula hasil maklumat awam mengenai sindiket itu pada Januari tahun ini.

Katanya, hasil risikan dijalankan sebelum melancarkan operasi khas untuk menahan semua suspek di tiga negeri berkenaan.

SULAIMAN (kanan) melihat watikah palsu negeri Melaka yang dirampas sambil ditunjukkan Abdul Majid (kiri)

“Siasatan awal mendapati sindiket itu didalangi dua lelaki berusia lingkungan umur 40-an yang dipercayai mencetak watikah palsu Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

“Dua suspek itu turut mencetak tauliah palsu Jaksa Pendamai (JP) serta membeli selempang dan bintang Darjah Kebesaran Negeri Melaka daripada pembekal yang tidak sah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Seri Negeri yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Sulaiman berkata, kedua-dua suspek turut menjual watikah, pingat dan bintang darjah kebesaran negeri Melaka palsu kepada pembeli dengan harga antara RM50,000 hingga RM100,000.

Jelasnya, siasatan lanjut polis mendapati, sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan itu pertengahan tahun lalu.

Malah, kumpulan itu juga katanya dibantu beberapa orang tengah yang berperanan mempromosikan serta menjual darjah kebesaran palsu menerusi atas talian di tiga negeri terbabit.

PINGAT dan bintang darjah kebesaran palsu negeri Melaka yang dirampas.

“Dalam serbuan di sebuah rumah di daerah Melaka Tengah, pihak polis merampas pelbagai barangan dan dokumen palsu termasuk 16 watikah darjah kebesaran negeri dan watikah jaksa pendamai negeri dan 13 selempang, 21 pingat darjah kebesaran negeri.

“Barang palsu lain yang turut ditemukan adalah dua kad keahlian Majlis Datuk-datuk Negeri Melaka (MDDNM), dua kad keahlian Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka (MJPNM) selain 168 set emblem kereta Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka (MJPNM),” katanya.

Berikutan itu katanya, polis membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Dua dalang utama akan dituduh mengikut Seksyen (3)(1)(a) dan Seksyen 3(1)(b)Enakmen Lambang-lambang dan Nama (mencegah penggunaan yang tidak betul) Enakmen A21 Negeri Melaka di Mahkamah Sesyen esok.

“Dua suspek itu turut akan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana didapati memperdaya dan menipu dalam urusan jual beli watikah dan pungat darjah kebesaran negeri Melaka,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1188
Kongsi :
Previous post Bangunan Wisma Negeri MITC ditutup esok
Next post Peniaga kacang pool ‘tular’ dibantu
Ubah saiz-+=