Sorting by

×

Singkir terus jika terlibat doping

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

JASIN 15 Mac – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) memberi amaran akan menyingkirkan terus mana-mana atletnya yang terlibat dengan isu doping.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, PABM telah mengambil tindakan tegas sebelum ini termasuk membubarkan pasukan kebangsaan dan meminda Perlembagaan persatuan selain merangka peraturan baharu bagi menangani isu yang menghantui atlet sukan itu.

Menurutnya, sebelum ini terdapat atlet dan pegawai sukan tersebut masih kurang jelas dengan peraturan baharu berkaitan doping sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan mereka.

“Kita sudah maklumkan bahawa setiap kejohanan termasuk di Melaka pada hari ini,
kita menjemput Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) untuk melakukan saringan urin dan sebagainya.

“Itu yang kita lakukan di setiap kejohanan dan pada setiap pusat-pusat latihan kita lakukan secara berkala termasuk secara ‘spot check’ agar atlet-atlet kita sentiasa dalam keadaan bersih, terhindar daripada masalah doping.

“Namun begitu masih ada juga yang degil dan sebagainya, jadi sekiranya mereka terlibat lagi selepas ini maka mereka akan disingkirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Perasmian Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior yang disempurnakan oleh EXCO Belia dan Sukan Negeri, V P Shanmugam di Dewan Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di sini.

Seramai 136 atlet dan pegawai pasukan seluruh negeri menyertai kejohanan membabitkan 32 kategori mengikut umur dan berat badan.

Antara dipertandingkan adalah Youth bawah 17 tahun tujuh kategori manakala Junior bawah 21 tahun dan Senior 21 ke atas, masing-masing 10 kategori.

Tahun lalu, PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selama setahun bermula 1 Apr 2020 hingga 1 Apr 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia sekali gus tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF, selama lima bulan sehingga 1 Sept 2020.

Selain itu kata Ayub, tindakan tegas yang diambil pihaknya termasuk membubarkan pasukan kebangsaan adalah bertujuan untuk memberi nafas baharu kepada atlet dan pegawai serta menetapkan hala tuju sukan angkat berat negara.

“Kita mahu beri kesedaran kepada atlet kita, jangan anggap mereka ini bintang atau harapan pingat maka mereka boleh lepas jika terlibat dengan masalah doping.

“Itu sebabnya kita bubar persatuan dan tidak ambil mana-mana atlet yang terlibat doping, walaupun dia berpontensi tetapi kita mahu tunjukkan sukan angkat berat ini menitik beratkan kecemerlangan dan reputasi atlet yang baik,” katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, pihaknya mensasarkan tiga pingat emas bakal dikutip sempena Sukan Komanwel Jul ini melalui tujuh atlet angkat berat negara antaranya Mohd Aniq Kasdan, Muhammad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat, Mohamad Nasir Roslan dan Elly Cassendra.

“Walaupun tidak ramai atlet angkat berat mewakili negara kali ini tetapi apa yang kita mahukan ialah hanya atlet yang berkualiti serta berpotensi.

“Jadi, biarlah tugas-tugas mengasuh dan mendidik atlet ini dilunaskan oleh persatuan di setiap negeri.

“PABM hanya mengambil mereka-mereka yang terbaik dan berpotensi menghasilkan pingat untuk negara melalui kejohanan yang disertai oleh mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

939
Kongsi :
Previous post PAU 2021: Bahas cadang pembaikan isu rakyat, perjuangan parti – Mahdzir
Next post RM5 bilion, tujuh MoU permulaan untuk lonjakan ekonomi Melaka – Sulaiman
Ubah saiz-+=