Siput babi pilih tempat yang sama untuk mati

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

LENDU 3 Ogos – Pelik tapi benar. Siput babi memilih lokasi yang sama untuk mati dalam jumlah yang banyak selepas disembur racun.

Itulah yang dialami lelaki warga emas yang terkejut apabila mendapati berpuluh-puluh siput babi yang disembur racun makhluk perosak mati di lokasi yang sama sejak kelmarin.

Mazlan Harun, 63, mendakwa haiwan perosak itu mati dalam jumlah yang banyak hampir serentak selepas habitatnya di belakang sebuah kedai runcit dan memproses ayam, disembur racun oleh pemilik kedai berkenaan, Shamsul Bokhari Abdul Ghani, 55.

Beliau yang membantu memproses ayam di kedai itu mendakwa, Shamsul menyembur racun Isnin lalu selepas mendapati bilangan siput babi semakin meningkat sejak seminggu lalu dan merosakkan sayur sawi dan kangkung yang ditanam di belakang kedai.

“Siput babi memakan tangkai dan daun sawi dan kangkung, menyebabkan Shamsul mengalami kerugian dan pada mulanya kami mencuba menabur garam di sekitar kawasan penanaman sayur.

“Bagaimanapun ia tidak mampu menghalang haiwan itu daripada terus merosakkan sayur dan kami tidak ada cara lain untuk menghalangnya, selain menyembur racun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Solok Duku, di sini hari ini.

Siput babi atau nama saintifiknya ‘Achatina fulica’ adalah haiwan moluska dari kelas ‘Gastropoda’ atau berjalan dengan perut.

Haiwan perosak itu mempunyai cengkerang agak besar, padat dan berbentuk piramid dengan beberapa lingkaran arah putaran ke kanan.

Mazlan berkata, beliau agak hairan apabila mendapati haiwan berkenaan memilih tempat yang sama di kebun itu untuk mati bersama-sama sejak kelmarin dan ia semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Saya tidak tahu mengapa binatang itu memilih tempat yang sama untuk mati bersama-sama kerana sebelum ini kami tidak pernah menyembur racun pada siput babi,” katanya.

Beliau berkata, tindakan menyembur racun setakat ini berjaya membantu mengurangkan jumlah haiwan berkenaan, sekali gus menyelamatkan sawi dan kangkung untuk kegunaan sendiri.

Views:

1985
Kongsi :
Previous post Pelakon Dwayne Johnson, keluarga pulih daripada Covid-19
Next post Melaka United FC tiada masalah guna logo baharu
Ubah saiz-+=