Melaka United FC tiada masalah guna logo baharu

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) percaya logo baharu Melaka United FC masih boleh digunakan walaupun sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana didakwa diciplak daripada logo luar negara.

Presidennya Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, selepas logo itu dihantar kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tiada sebarang halangan yang disuarakan badan induk bola sepak negara itu berhubung penggunaan logo baharu yang akan diguna pakai bermula musim 2021.

“Daripada pihak FAM sendiri kata tiada masalah mengenai logo itu. Di pusingan pertama memang tiada apa-apa masalah. InsyaAllah masih boleh digunakan.

“Namun, andai kata kalau kita dapat surat kata tak boleh guna, maka tak bolehlah. Tapi buat masa ini logo itu masih boleh digunakan dan saya yakin ia akan terus digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu pada Segmen Bicara Ketua Menteri di Melaka FM, hari ini.

Terdahulu, kisah mengenai logo baharu Melaka United FC menjadi tular di kalangan peminat bola sepak tanah air ekoran reka bentuknya yang dikatakan persis sebuah syarikat daripada Australia.

Malah, logo berkenaan juga dikatakan turut digunakan dua buah lagi kelab bola sepak luar negara iaitu Banstead Rovers (England) dan Austin FC (Amerika Syarikat).

Sulaiman bagaimanapun menegaskan pemilihan logo baharu itu adalah keputusan yang tepat memandangkan ia kelihatan ringkas, namun mempunyai maksud yang mendalam.

“Warna dan lambang pada logo baharu ini pada saya cukup ringkas dan mempunyai maksud yang mendalam. Pada masa sama, kita masih mengekalkan ciri-ciri sebelum ini seperti pokok Melaka dan sebagainya.

“Saya berharap logo baharu ini akan menjadi semangat kepada pasukan kita untuk menghadapi saingan Liga Malaysia di masa akan datang terutama apabila bertukar menjadi sebuah kelab.

“Besar harapan saya agar kelab ini dapat menjadi pilihan ramai pemain berkualiti dan juga menarik penaja-penaja yang yang boleh membantu Melaka United FC di masa akan datang,” katanya lagi.

Views:

384
Kongsi :
Previous post Siput babi pilih tempat yang sama untuk mati
Next post Tokoh penasihat M-WEZ sedang dikenal pasti
Ubah saiz-+=