Sorting by

×

Tokoh penasihat M-WEZ sedang dikenal pasti

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 3 Sept. – Kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa calon dan tokoh yang sesuai untuk dilantik sebagai anggota Majlis Penasihat Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, pelantikan itu berkemungkinan akan berlaku dalam masa terdekat bagi membolehkan perancangan untuk membangunkan koridor ekonomi baharu Negeri Melaka itu dapat dimulakan.

“Anggota majlis penasihat itu kita sedang kenal pasti. Kita akan lantik dalam masa terdekat supaya mereka ini boleh bersama kita memberikan pandangan dan memantau semua perkara-perkara atau bengkel-bengkel yang akan dilaksanakan.

“Itu sedang kita perinci dan perhalusi membabitkan beberapa tokoh yang saya rasa akan kita lantik untuk membantu memantau pelaksanaan jangka masa panjang, pendek dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan kerja di Badan Promosi Pelancongan (BPP), Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan Perbadanan Melaka Holdings (PMH) di Kota Cemerlang, di sini.

Menurut Sulaiman, lawatan berkenaan juga antara lain diadakan bertujuan untuk mendapatkan pandangan, idea dan maklum balas daripada agensi-agensi berkaitan mengenai pembangunan projek M-WEZ.

“Disebabkan kita ada M-WEZ sebagai koridor ekonomi baharu, jadi saya minta agar semua agensi-agensi agar tidak ada yang ketinggalan ke belakang serta bersama-sama memberi pandangan dan peluang untuk kita dapat membangunkan koridor baharu ini.

“Jadi, kesemua tiga agensi yang kita lawati tadi memaklumkan akan bekerjasama penuh dengan pihak kerajaan negeri dan bersedia membantu dalam apa jua hasrat kerajaan merealisasikan cadangan-cadangan baharu,” katanya.

Untuk rekod, M-WEZ merupakan sebuah koridor ekonomi baharu yang berupaya menjana pelaburan bernilai kira-kira RM100 bilion.

Koridor berkenaan bakal dibangunkan meliputi kawasan tambakan pesisir pantai sejauh 20 kilometer dengan kewujudan tiga buah pelabuhan bertaraf dunia iaitu Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), Pelabuhan Tanjung Bruas dan Melaka Gateway.

Views:

368
Kongsi :
Previous post Melaka United FC tiada masalah guna logo baharu
Next post 522 kontak rapat tiga kes di Kem Terendak negatif Covid-19
Ubah saiz-+=