522 kontak rapat tiga kes di Kem Terendak negatif Covid-19

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

PENGKALAN BATU 3 Sept. – Seramai 522 kontak rapat tiga individu yang disahkan positif Covid-19 pada 26 Ogos lalu disahkan negatif daripada wabak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata, tiga individu yang dirawat di Hospital Kem Terendak telah dipindahkan ke Hospital Melaka sebaik sahaja ketiga-tiga didapati positif wabak berkenaan selepas menjalani saringan ketika pra-pembedahan dan mengalami gejala Covid-19.

Justeru itu, katanya Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) melaksanakan semua prosedur operasi standard (SOP) termasuk melakukan sanitasi di lokasi dikunjungi serta saringan terhadap semua kontak rapat tiga individu terbabit.

“Saringan dilakukan terhadap kontak rapat termasuk ahli keluarga serta semua kakitangan Hospital Terendak serta menutup hospital tersebut bermula 27 hingga 30 Ogos untuk proses sanitasi.

“Bagaimanapun, semua kontak rapat seramai 522 orang didapati negatif Covid-19 selepas saringan dibuat dan arahan kuarantin wajib selama 14 hari ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2020 di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB) di sini, hari ini.

Menurut Rahmad, tiga individu yang masih aktif kes Covid-19, bagaimanapun didapati negatif selepas beberapa siri ujian saringan dijalankan.

“Seorang daripada ketiga-tiga pesakit itu mungkin lewat dibenarkan keluar hospital berikutan mempunyai masalah pernafasan, manakala dua lagi mungkin dibenarkan keluar beberapa hari lagi,” katanya.

Views:

325
Kongsi :
Previous post Tokoh penasihat M-WEZ sedang dikenal pasti
Next post Sulaiman tiup semangat kepada MU tewaskan Terengganu FC
Ubah saiz-+=