Sulaiman tiup semangat kepada MU tewaskan Terengganu FC
AYER KEROH 3 Sept. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali mengirimkan kata-kata semangat buat pemain Melaka United menjelang aksi menentang Terengganu FC di laman sendiri, malam esok.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) optimis skuad Hang Tuah mampu mencatat kemenangan kedua berturut-turut jika menampilkan persembahan yang dilakukan ketika menewaskan Perak di Stadium Ipoh, minggu lalu.
“Saya mendoakan malam esok kita dapat mengekalkan prestasi seperti mana kita menentang Perak tempoh hari. Kalau boleh kita tunjukkan lagi satu aksi permainan yang lebih baik untuk menewaskan Terengganu FC.
“Seperti kita tahu, Terengganu bukan calang-calang pasukan. Mereka berada di tangga kedua buat masa ini. Jadi saya berharap kalau corak permainan kita dapat dipertingkat dan diperkemas sedikit sahaja lagi mungkin kita boleh dapat kemenangan bergaya malam esok.
“InsyaAllah, sasaran saya paling tidak ialah menewaskan Terengganu 1-0, sama seperti yang kita lakukan di Perak tempoh hari,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu pada Segmen Bicara Ketua Menteri di Melaka FM, Jalan Taming Sari, pagi tadi.
Pada masa sama, Sulaiman turut merakamkan rasa bangga terhadap pemain dan pengurusan Melaka United yang selama ini bersabar dan tetap bersungguh-sungguh mengubah nasib pasukan meskipun berdepan pelbagai onak dan pancaroba sepanjang tahun ini.
Katanya, meskipun dunia dilanda Covid-19, selain pasukan ditolak tiga mata pada awal musim, namun itu tidak mematahkan semangat semua dalam berusaha mencapai kejayaan untuk membantu pasukan mendapatkan keputusan yang terbaik.