YB ALONG AMBIL BERAT, ABU SHAH KINI BERTEDUH DI RUMAH LEBIH SELESA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ASAHAN 31 Oktober – Sebelum ini dia menghuni rumah yang sempit tanpa, ruang tamu, bilik atau dapur yang khusus cuma seluas kira-kira 3.6 meter sahaja.

Namun atas sikap cakna dan ambil berat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan, Abu Shah Bujang, 65, kini berteduh di kediaman lebih luas dan selesa.

Menurut Abu Shah, meskipun tinggal seorang diri dia juga menginginkan sebuah kediaman yang sempurna serta selesa sebagai kemudahan sepanjang meniti usia senjanya.

“Alhamdulillah sekarang barulah saya menghuni rumah yang sebenar, ada ruang tamu, bilik tidur, tandas dan dapur. Permohonan bagi mendapatkan bantuan baik pulih rumah ini dihantar adik saya dan syukur kerana terus mendapat perhatian ‘YB Along’.

“Kalau rumah lama ruang solat, tidur dan dapur semuanya ditempat yang sama. Kemudahan ini membuka lembaran baharu, memberi perubahan amat besar dalam kehidupan saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pondok Batang.

Selain YB Along Abu Shah turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pondok Batang, Usly Abu kerana banyak membantu mempercepatkan kerja-kerja menyiapkan rumahnya itu

“Terima kasih kerana sudi mendengar permintaan saya dan membantu meringankan beban. Saya amat menghargai usaha serta keprihatinan semua pihak terlibat terhadap nasib saya ini,” katanya.

Usaha membantu Abu Shah itu mencerminkan kepentingan peranan wakil rakyat dalam mendekati masyarakat di peringkat akar umbi, khususnya mengenal pasti keperluan penduduk yang berdepan kekangan untuk mendapatkan kediaman sempurna.

Bagi Abu Shah, bantuan tersebut bukan sekadar memperbaiki keadaan fizikal rumahnya, malah membawa perubahan bermakna dalam kehidupannya sebagai warga emas yang menetap sendirian.

Kediaman yang lebih selesa itu kini menjadi ruang untuknya menjalani kehidupan seharian dengan lebih tenang, hasil bantuan yang diusahakan selepas beliau menyuarakan keperluannya kepada wakil rakyat kawasan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

265
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AHMAD ZAHID IRINGI AB RAUF KE PUSAT PENAMAAN CALON TANJUNG BIDARA
Next post PRN MELAKA: ASYRAF WAJDI, UNCLE WONG IRINGI MOHD NOOR HELMY