PRN MELAKA: AHMAD ZAHID IRINGI AB RAUF KE PUSAT PENAMAAN CALON TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TANJUNG BIDARA 31 Oktober – Kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menjadi antara tumpuan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka tiba di Dewan Datuk Kapt (B) Hj. Ab. Karim, Kompleks Japerun Tanjung Bidara kira-kira jam 9.00 pagi bersama Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN.

Rombongan yang mengiringi Ab Rauf Yusoh berarak dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak menuju ke pusat penamaan calon di dewan berkenaan.

Ketibaan kedua-dua pemimpin itu disambut dengan laungan ‘Gelombang Biru’ daripada penyokong BN yang berkumpul di kawasan luar perkarangan dewan berkenaan.

Seawal jam 7.30 pagi, kawasan sekitar pusat penamaan calon mula diwarnai kibaran bendera parti politik serta kehadiran penyokong yang mengenakan pakaian mengikut warna parti masing-masing.

Ab Rauf sebelum ini diumumkan sebagai calon BN untuk mempertahankan kerusi Tanjung Bidara yang dimenanginya pada PRN Melaka 2021.

Bagi PRN kali ini, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Mohd Yunazri Mustamiri untuk mencabar penyandang kerusi berkenaan.

Kehadiran Ahmad Zahid turut mendapat perhatian apabila beliau memilih untuk mengiringi Ab Rauf pada hari penamaan calon sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan BN Melaka.

Tanjung Bidara menjadi antara kerusi yang menarik perhatian berikutan sejarah persaingan sengit pada PRN Melaka 2021 apabila Ab Rauf memenangi pertandingan tiga penjuru dengan majoriti tipis 364 undi.

Ketika itu, beliau memperoleh 3,559 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang meraih 3,195 undi, manakala calon PH, Zainal Hassan memperoleh 489 undi.

Proses penamaan calon bagi PRN Melaka Ke-16 berlangsung serentak di 28 DUN seluruh negeri, bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal dijadualkan pada 10 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

206
Kongsi :
Previous post ‘GELOMBANG BIRU’ IRINGI TOK AJAK
Next post YB ALONG AMBIL BERAT, ABU SHAH KINI BERTEDUH DI RUMAH LEBIH SELESA