Sistem bekalan elektrik 92 tahun Hospital Melaka diganti baharu

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDAR MELAKA 1 September – Sistem bekalan elektrik Hospital Melaka yang berusia 92 tahun diganti baharu dalam memberi perkhidmatan kesihatan lebih baik kepada rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, projek naik taraf bagi kerja reka dan bina itu menelan kos berjumlah hampir RM24 juta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Projek itu juga katanya, membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam menyediakan kemudahan kesihatan terbaik untuk rakyat di negeri ini.

“Kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan elektrik ini mengambil masa 24 bulan untuk siap sepenuhnya iaitu bermula 21 Sept 2020 sehingga 18 Sept 2022, namun ianya siap sebulan lebih awal pada 15 Ogos lalu.

“Sistem bekalan elektrik di sini telah digunapakai selama 92 tahun, justeru KKM mengambil inisiatif menaik taraf sistem ini agar dapat menyediakan bekalan lebih efisien dan stabil.

“Ini juga salah satu agenda utama Kerajaan Negeri dalam memastikan kelestarian pembangunan kesihatan Negeri Melaka sentiasa dalam keadaan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik Hospital Melaka (Reka dan Bina) di Hospital Melaka di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Pengurusan Banjir dan Infrastruktur negeri, Datuk Rahmad Mariman; Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir Ismail Abd Rahman, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman dan Pengarah Hospital Melaka, Dr Zaharimah Abdul Kadir.

Ujarnya lagi, projek tersebut diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka yang dilaksanakan pihak kontraktor Lapisan Rezeki Sdn Bhd.

“JKR Melaka komited dalam membantu dan memantau pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf sistem ini di Hospital Melaka.

“Projek ini meliputi 11 pakej antaranya certificate of practical completion (CPC), siap awal dari tarikh kontrak, zero Extension of Time (EOT), penyediaan 33 dokumen KKM semasa penyerahan, penjimatan kos dari kos siling projek dan lain-lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1486
Kongsi :
Previous post Terus tingkatkan mutu perkhidmatan kesihatan Hospital Melaka – KM
Next post Naik taraf perkhidmatan ‘neurosurgery’ Hospital Melaka
Ubah saiz-+=