Sistem PADU kemas kini maklumat penduduk

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 13 Disember – Pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menjadi input utama Kerajaan Negeri dalam memantau pelaksanaan Dasar Pembangunan menerusi Pelan Strategik Melaka Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari berkata, sistem PADU berupaya memperkemas pelaksanaan pemberian bantuan kerajaan dengan lebih meluas dan menyeluruh.

“Sistem ini menyediakan gabungan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara dengan menyalurkan data secara terperinci mengenai bantuan yang diterima oleh rakyat.

“Justeru, pihak kerajaan dapat mengenal pasti ketirisan yang wujud sekali gus menambah baik pelaksanaan sistem subsidi kepada golongan sasaran.

“Kemudahan digital Negeri Melaka amat luas khususnya ‘hotspot’ dan WiFi percuma, maka menjadi keutamaan supaya pelaksaaan PADU di Melaka dapat dilaksanakan secara atas talian dan tanpa kertas,” matanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Libat Urus dan Taklimat Pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Negeri, Datuk Md Azhan Samat.

Photo 2023 12 13 13 05 39
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri, Datuk Md Azhan Samat membacakan teks ucapan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari pada Program Libat Urus dan Taklimat Pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Hadir sama Timbalan Pengarah I, Bahagian Ekonomi Makro Kementerian Ekonomi, Noraini Ahmad dan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Melaka, Abang Saifulhadi Abang Ibrahim.

Katanya, rakyat yang berusia 18 tahun ke atas bertanggungjawab untuk mendaftar dan membuat semakan di portal awam PADU.

“Mereka juga perlu mengemas kini maklumat demografi, pendapatan, pendidikan, aset, bantuan sosial dan mengesahkan serta memperaku maklumat yang dibekalkan,” katanya.

Untuk rekod sistem PADU telah dibangunkan pada Jun lalu selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Jun 2023 yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1371
Kongsi :
Previous post Hampir RM10,000 lesap, suri rumah dakwa bank lepas tangan
Next post Bagi barang kitar semula, dapat duit
Ubah saiz-+=