Hampir RM10,000 lesap, suri rumah dakwa bank lepas tangan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KOTA LAKSAMANA 13 Disember – Seorang suri rumah menanggung kerugian hampir RM10,000 wang simpanannya selepas sebuah bank tempatan didakwa membenarkan pemindahan wang kepada transaksi yang mencurigakan.

Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Cawangan Melaka, Aalex Kong Sin Fatt berkata, insiden berlaku pada 21 Ogos lalu selepas anak perempuan mangsa dihubungi seorang ‘pembeli’ yang mahu membeli barangan yang dijual menerusi platform dalam talian milik ibunya.

Katanya, ‘pembeli’ tersebut mendakwa telah memasukkan sejumlah wang kira-kira RM150 ke dalam platform dalam talian milik anaknya namun tidak mengemukakan sebarang bukti pembayaran kepada anak mangsa.

“Individu terbabit kemudian meminta anak mangsa mengembalikan wang tersebut melalui e-mel dan pautan laman sesawang yang diberikannya.

“Anak mangsa kemudian meminta ‘pembeli’ itu untuk berbincang menerusi platform dalam talian itu namun tanpa disedari sejumlah RM9,931.50 lesap sebelum menghubungi bank tempatan bagi membekukan pemindahan transaksi itu,” katanya pada sidang media Komplot Bank dan Scammer di pejabat MTPN Cawangan Melaka di sini semalam.

Katanya, mangsa bagaimanapun dimaklumkan hanya Bank Negara Malaysia (BNM) yang mempunyai kuasa menghalang transaksi berkenaan.

Jelasnya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menghalang wang tersebut dipindahkan ke akaun ‘scammer’ antaranya membuat tiga laporan polis, membuat laporan kepada bank serta menulis surat aduan kepada Gabenor BNM.

“Walaupun wang itu berjaya disekat namun dimaklumkan pihak bank memerlukan 45 hari untuk mendapatkan maklum balas daripada bank yang digunakan penipu terbabit.

“Pada 15 November lalu, mangsa telah dimaklumkan kesnya telah ditutup oleh pihak bank dengan mengatakan terdapat bukti mangsa yang meluluskan transaksi dan perlu membayar wang tersebut,” katanya.

Photo 2023 12 12 18 18 47
Mangsa penipuan, Lim Saw Yong, 54, mengadakan Sidang Media Majlis Tindakan Pengguna Negara Cawangan Melaka Berhubung Aduan Pengguna Bertajuk ‘Komplot Bank & Scammer’ di Taman Kota Laksamana Jaya, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, mangsa, Lim Saw Yong, 54, berkata, dia terkejut apabila pihak bank menyalahkan dirinya atas kesilapan yang berlaku walaupun bukti yang diberikan oleh bank jelas meragukan.

Menurutnya, meskipun nombor akaun adalah miliknya tetapi nama, alamat e-mel dan lokasi akaun tersebut adalah tidak tepat.

“Bank itu juga memberitahu pemegang kad bank tidak membuat permintaan pemulangan wang dalam tempoh 14 hari sedangkan semua bukti menunjukkan saya telah mengambil tindakan segera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2495
Kongsi :
Previous post TMM2024 peluang memperkasa ekonomi anak tempatan
Next post Sistem PADU kemas kini maklumat penduduk
Ubah saiz-+=