TMM2024 peluang memperkasa ekonomi anak tempatan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 13 Disember – Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) diharap memberi limpahan kepada rakyat dalam memperkasa ekonomi khususnya golongan berpendapatan rendah di negeri ini.

Rata-rata anak jati Melaka menyambut baik penganjuran itu bagi memastikan nama Melaka sebagai negeri pelancongan terus segar di mata dunia.

Muhammad Syafiq Ramli, 33, berkata TMM2024 adalah peluang terbaik untuk peniaga kecil di negeri ini untuk menjana pendapatan sekali gus membawa limpahan ekonomi buat Melaka dan negara.

Katanya yang menetap di Kampung Hulu, peluang perniagaan khususnya buat peniaga kecil perlu diperluaskan dalam tahun itu agar limpahan itu dapat dinikmati sama rata oleh setiap sektor berskala kecil mahupun besar.

“TMM2024 adalah satu idea yang paling baik untuk memulihkan ekonomi anak tempatan namun sebagai persediaan, pihak berwajib perlu kekal menjalankan penyelenggaraan seperti di jalan raya dan isu kesesakan di Melaka supaya kemasukan pelancong yang ramai dapat melancarkan perjalanan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Photo 2023 12 09 22 49 57
Pengunjung, Nur Nabilah Faizal, 25. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, Nur Nabilah Faizal, 25 berkata penganjuran 70 acara pelancongan pada tahun hadapan adalah perkara yang dinanti-nantikan anak Melaka dan diyakini mampu menarik kedatangan pelancong domestik dan luar negara.

Katanya, selain mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, TMM2024 begitu relevan bagi mengembalikan kegemilangan Melaka yang terkenal dengan gelaran ‘Venice Of The East’.

“Dengan penganjuran pelbagai acara ini sudah pasti sambutan TMM2024 akan lebih meriah dan ini perlu diperluaskan ke seluruh negeri dan tidak tertumpu hanya dilokasi tumpuan sahaja,” katanya.

Photo 2023 12 09 22 49 28
Pengunjung, Nabil Asyraaf Faizal, 21. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada masa sama, Nabil Ashraf Faizal, 21 berkata, sempena TMM2024 langkah mempelbagaikan produk-produk pelancongan perlu dipromosikan dengan lebih meluas.

Malah, penyediaan perkhidmatan awam juga perlu ditambah baik agar imej Melaka terus positif di mata pelancong.

“Seperti kemudahan di Melaka Sentral atau stesen bas yang lain perlu ditambah baik malah setiap kemudahan awam termasuk surau dan tandas perlu ditambah baik demi keselesaan pengguna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1057
Kongsi :
Previous post TMM2024: Enam negara sertai Pantun Nusantara
Next post Hampir RM10,000 lesap, suri rumah dakwa bank lepas tangan
Ubah saiz-+=