Siti Nurhaliza, Menteri Agama antara dikompaun langgar SOP

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SHAH ALAM 27 Mei – Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa mengadakan majlis tahnik anak mereka awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang turut dikenakan ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal serta tiga orang anaknya.

Arjunaidi semasa sidang media dalam talian berkata kesemua mereka dikenakan kompaun atas  kegagalan memastikan penjarakan fizikal ketika majlis berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap penganjuran majlis tahnik anak lelaki penyanyi nombor satu negara itu yang didakwa melanggar SOP  Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha sebelum ini berkata, siasatan dijalankan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 susulan satu laporan polis dibuat berkaitan isu tersebut.

Bagi kes Hulu Klang laporan bertarikh 17 Mei, juga bagi kesalahan berkaitan ziarah Aidilfitri, Arjunaidi berkata polis menerima arahan daripada Ketua Bahagian Pendakwaan untuk mengenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kepada pelakon Norman Hakim dan isterinya Memey Suhaiza serta pelakon Abby Abadi dan suaminya Muhammad Faizal Zakaria.

Selain itu, katanya bagi penganjuran majlis di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) yang tular baru-baru ini,  polis telah mengenakan kompaun RM2,000 kepada setiap seorang termasuk Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Dr Husaini Omar dan beberapa orang kepimpinan kanan universiti itu.

“Penganjur pula dikompaun RM10,000, “ tambahnya.

Sementara itu, Arjunaidi berkata polis sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung pelanggaran SOP oleh seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang menganjurkan sambutan Aidilfitri di kediamannya yang tular di media sosial.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

634
Kongsi :
Previous post Tiada isu potong barisan pemberian vaksin COVID-19 kepada Eina Azman, suami
Next post Gelombang ketiga COVID-19: Kes kategori 4 dan 5 meningkat
Ubah saiz-+=