Sorting by

×

Skuad B-23 kebangsaan berlepas ke Kemboja sehari awal

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Tiada angin dan tiada ribut, skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan berlepas sehari lebih awal ke Phnom Penh, Kemboja untuk menghadapi kempen Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dari 14 hingga 26 Feb ini.

Skuad kendalian Ketua Jurulatih Brad Maloney itu sebelum ini dijadual berlepas ke Kemboja esok, namun pihak media tidak menerima sebarang makluman mengenai perubahan tarikh tersebut.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pasukan negara berlepas ke Kemboja pagi ini dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines yang merupakan rakan penerbangan rasmi badan induk bola sepak negara itu.

Hadir memberikan sokongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram, Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar dan Exco FAM Md Dali Wahid.

Dalam perkembangan berasingan, juara bertahan Indonesia yang diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan negara sah menarik diri daripada kejohanan itu.

Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dalam kenyataan pagi ini memaklumkan penarikan diri itu disebabkan tujuh pemain dan seorang pegawai pasukan disahkan positif COVID-19.

Selain itu, empat pemain skuad bimbingan ketua jurulatih Shin Tae Yong menjadi kontak rapat dan perlu menjalani kuarantin.

Tujuh pemain disahkan positif COVID-19 itu adalah Ronaldo Joybera R Junior, Muhammad Ferrari, Braif Fatari, Taufik Hidayat, Irfan Jauhari, Ahmad Figo Ramadhani dan Cahya Supriyadi.

Dengan penarikan diri Indonesia, skuad B-23 kebangsaan hanya akan menempuhi dua perlawanan kumpulan masing-masing menentang Myanmar pada 15 Feb dan Laos (18 Feb) di Stadium Prince.

Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 24 Feb dan perlawanan akhir dijadual pada 26 Feb.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

625
Kongsi :
Previous post Ternak ayam bantu kawal harga
Next post RM22.8 juta biayai 298 projek pembangunan di Melaka
Ubah saiz-+=