Skuad MUFC bakal dirombak

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) menerima peruntukan tambahan daripada pihak pengurusan tertinggi untuk merombak pasukan berkenaan pada jendela perpindahan kedua bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, menerusi bajet itu
pihaknya bakal merangka perancangan terbaharu untuk memastikan prestasi MUFC kembali ke tahap yang terbaik dan kekal beraksi di Liga Super musim hadapan.

Jelasnya, antara tindakan yang bakal diambil termasuklah membawa masuk pemain baharu serta menggugurkan pemain yang beraksi di bawah par sepanjang pusingan pertama Liga Super musim 2021.

“Antara keperluan utama yang kita nampak ialah dari segi jentera serangan yang tidak begitu memuaskan serta barisan pertahanan yang tampak goyah.

“Jadi, memang ada kemungkinan kita akan membuat pertukaran pemain, khususnya pemain import, yang mana kita akan melihat keseluruhan prestasi mereka termasuk dua perlawanan akhir sebelum liga berehat dua bulan.

“Jika kita dapati ada yang tidak menepati piawaian yang ditetapkan, kita akan ganti mereka dengan pemain baharu. Insya-Allah semua itu akan dilakukan sebelum jendela perpindahan kedua ditutup nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri rakaman Takbir Raya anjuran Melaka Hari Ini di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MHI, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, Ketua Pegawai Operasi MHI, Anuar Shaari dan Pengurus Pasukan MUFC, Muhammad Akram Abdullah.

Dalam pada itu, Mohd Saiful mengakui kedatangan penyokong ke stadium bagi memberikan sokongan kepada skuad Hang Tuah masih hambar sejak kerajaan membenarkan kemasukan penyokong secara bersyarat awal bulan lalu.

Beliau berkata, walaupun pihaknya sudah melakukan pelbagai alternatif seperti menyediakan hadiah cabutan bertuah untuk menarik kehadiran ‘pemain ke-12’ itu, namun dek prestasi kurang memberangsangkan pasukan yang tewas tiga kali di laman sendiri merencatkan kesemua usaha yang dilakukan.

“Ia juga mungkin disebabkan penyokong sudah mual dengan corak permainan kita sepanjang musim ini.

“Sebab itulah saya perlu melakukan sesuatu pada jendela perpindahan kedua untuk memantapkan kembali pasukan dan menarik semula sokongan padu penyokong untuk kita kekal beraksi di Liga Super,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post KPPK runding pengecualian dapatkan 20,000 pekerja asing- Khairuddin
Next post Perzim akui kewujudan tapak Masjid Agong dalam Kota A Famosa
Ubah saiz-+=