Skuad Sabil Tangga Batu bantu sanitasi sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PAYA RUMPUT 25 Sept – Bagi mengurangkan rasa trauma dan keresahan ibu bapa, guru dan pelajar untuk kembali ke sekolah sempena sesi persekolahan tidak lama lagi, Skuad Sabil Tangga Batu bertindak melakukan anitasi dan nyahkuman di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, seramai lapan petugas skuad menjalankan sanitasi di pejabat, bilik guru dan bilik darjah yang menempatkan kira-kira 1,214 orang peljar sekolah itu.

Menurutnya, proses sanitasi sekolah berlangsung lebih dua jam dengan turut memfokuskan pada sekitar kawasan pekarangan sekolah dan laluan kaki lima setiap bilik darjah.

RAIS memerhatikan petugas Skuad Sabil Tangga Batu melakukan semburan nyah kuman pada laluan kaki lima bilik darjah SMK Paya Rumput.

“Sudah tentu ada dalam kalangan ibu bapa, guru malah pelajar sendiri merasa kurang selamat untuk berada di luar rumah seperti di sekolah dalam tempoh waktu yang panjang.

“Lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik yang masih belum pulih sepenuhnya pada masa ini.

“Skuad merasa terpanggil menawarkan khidmat percuma sanitasi awam kepada pihak SMK Paya Rumput supaya bila buka sekolah nanti, kuranglah sedikit rasa gelisah dalam kalangan mereka ketika berada dalam kawasan sekolah nanti,” katanya.

RAIS menunjukkan kandungan bahan semburan yang digunakan dan selamat mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan.

Menurut Rais, pihaknya menggunakan dua kaedah sanitasi iaitu secara semburan asap dan cecair mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan.

Katanya, cecair yang digunakan tidak mengandungi bahan kimia dan tidak membahayakan penglihatan sekiranya orang awam berada hampir dengan kawasan yang sedang disanitasi.

“Skuad juga membuat semburan nyah kuman pada bahagian almari penyimpanan barang pelajar.

“Walaupun ruangannya agak tersembunyi dan kecil tetapi kita mahu pastikan kerja-kerja sanitasi yang dijalankan dibuat secara menyeluruh tanpa meninggalkan apa-apa ruangan yang dianggap tidak penting,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meluaskan kerja-kerja sanitasi di semua sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Klebang, Sungai Udang dan Pantai Kundor bagi membantu mengurangkan risiko virus COVID-19 di sekolah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1037
Kongsi :
Previous post MIDA yakin Malaysia kekal destinasi pelaburan unggul di rantau Asia.
Next post PBB perlukan pembaharuan, tingkat keberkesanan- Ismail Sabri
Ubah saiz-+=