Solat Tarawih dibenarkan ikut kapasiti masjid, surau

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BUKIT BARU 6 April. – Aktiviti pengimarahan termasuk solat sunat Tarawih di masjid dan surau di Melaka sepanjang Ramadan dibenarkan mengikut kapasiti ruang bangunan dan tempat bersesuaian di pekarangan rumah ibadat itu.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu diputuskan menerusi perbincangan bersama agensi agama Islam negeri termasuk Jabatan Mufti negeri, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) semalam.

Katanya, solat Tarawih boleh dilaksanakan lapan atau 20 rakaat yang diakhiri dengan solat witir dan digalakkan dilakukan secara ringkas dengan bacaan surah pendek.

Menurutnya, antara aktiviti pengimarahan termasuk majlis tadarus dan khatam al-Quran, aktiviti iktikaf serta qiyamullail dibenarkan, yang dilaksanakan secara berkumpulan mengikut masa yang munasabah.

“Aktiviti memasak juadah serta penyediaan juadah berbuka puasa sama ada untuk musafir, anak kariah dan jawatankuasa masjid atau surau juga dibenarkan.

“Jemaah bagaimanapun tidak dibenarkan makan dalam talam atau dulang bagi mengelakkan risiko jangkitan sebaliknya dihidangkan secara bufet atau diberikan secara bungkusan.

“Sekiranya ada keperluan untuk menambah khemah bagi menampung jemaah solat tarawih di pekarangan masjid atau surau, ia tidak menjadi halangan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jabatan Mufti Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, bagi penceramah jemputan dari luar serta jemaah warganegara asing masih tidak dibenarkan manakala jemaah kanak-kanak hanya dibenarkan bagi mereka yang berusia tujuh tahun ke atas.

Katanya, semua prosedur operasi standard (SOP) bagaimanapun tertakluk kepada perkembangan semasa COVID-19 serta keputusan Majlis Keselamatan Negara dari semasa ke semasa.

“Mana-mana kawasan yang dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dikesan terdapat penularan tinggi kes COVID-19, kita akan mengeluarkan kenyataan jika perlu menangguhkan sebarang aktiviti Ramadan di kawasan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

663
Kongsi :
Previous post ESSCom tahan 22 warga asing Indonesia di Tawau
Next post Bapa Rina meninggal dunia
Ubah saiz-+=