SPM 2020 dengan GPN 4.80, adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

PUTRAJAYA 10 Jun – Pencapaian calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 lebih baik berbanding 2019.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Gred Purata Nasional (GPN) tahun 2020 adalah 4.80 berbanding 4.86 pada 2019.

“Data ini menunjukkan pencapaian calon SPM 2020 adalah lebih tinggi berbanding pencapaian calon SPM 2019.

“Ingin saya ingatkan nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

“Jika dilihat trend pencapaian GPN dari 2016, GPN tahun 2020 ini juga adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun. Alhamdulillah,” katanya pada sidang media keputusan SPM 2020 secara maya sebentar tadi.

Untuk rekod, pencapaian GPN bagi 2018 adalah 4.89,  4.90 (2017) dan 5.05 (2016).

Menurutnya, analisa itu berdasarkan calon yang mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Katanya, dari segi jurang pencapaian antara calon luar bandar dengan calon bandar bagi SPM 2020 juga menunjukkan penurunan berbanding 2019.

“Jurang pencapaian calon pada 2019 adalah 0.44 mata dan menurun kepada 0.38 mata pada 2020.

“Pencapaian calon bandar dan luar bandar juga menunjukkan peningkatan.

“Namun, peningkatan pencapaian calon luar bandar lebih tinggi berbanding calon bandar iaitu pada 2019 adalah 5.14 mata dan 5.06 mata pada 2020,” katanya.

Radzi berkata, dari segi prestasi mata pelajaran SPM 2020, sebanyak 43 mata pelajaran menunjukkan peningkatan, 39 penurunan dan satu mata pelajaran kekal seperti mana 2019.

“Bagi prestasi mata pelajaran teras, pada 2019, Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral menunjukkan peningkatan, manakala bagi 2020, lima mata pelajaran meningkat iaitu Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

“Untuk 2020 dua mata pelajaran menunjukkan penurunan iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris berbanding empat pada 2019 iaitu Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peratusan calon layak menerima sijil SPM 2020 juga menunjukkan peningkatan iaitu 1.96 peratus kepada 88.68 peratus berbanding 2019 (86.72 peratus).

“Selain itu peratusan calon berkeperluan khas (CBK) yang layak menerima sijil SPM pada 2020 juga meningkat iaitu 68.22 peratus berbanding 61.34 peratus pada 2019 atau peningkatan 6.88 peratus,” katanya.

Beliau berkata, slip keputusan rasmi boleh dimuat turun mulai 14 Jun manakala sijil SPM mula diedar secara berperingkat pada 10 Julai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

717
Kongsi :
Previous post De Paula ikrar ‘senyapkan’ pengkritiknya semasa menentang Vietnam
Next post Kewujudan badan berkuasa mutlak rencat pengurusan darurat kesihatan- Marzuki
Ubah saiz-+=