De Paula ikrar ‘senyapkan’ pengkritiknya semasa menentang Vietnam

Masa Membaca:2 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR 9 Jun – Penyerang naturalisasi negara Guilherme De Paula mengakui bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi tidak memuaskan beliau semasa menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikannya menjadi bahan bualan peminat Harimau Malaya yang marah dengan keputusan perlawanan itu.

Skuad negara di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe tersungkur 0-4 di tangan UAE dalam perlawanan Kumpulan G saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Zabeel Stadium, Dubai pada Jumaat lalu.

Pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu berkata beliau sedar akan harapan tinggi peminat bola sepak tanah air yang mahu melihat kehadiran pemain naturalisasi memberikan impak positif kepada prestasi pasukan.

SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan. Foto FAM.

De Paula yang dihujani kritikan termasuk desakan agar beliau diketepikan pada pertembungan dengan Vietnam Jumaat ini, bagaimanapun menegaskan komitmennya untuk membantu skuad kebangsaan tetap membara.

“Saya bangga menyarung jersi Malaysia, saya sayangkan negara ini dan rakyatnya, namun harapan mereka sangat tinggi. Sesetengah daripada mereka berhak mengkritik saya, manakala yang lain pula tidak. Saya tetap bersemangat tinggi dan tidak memikirkan apa yang telah berlalu,” katanya.

“Saya tidak tahu apa yang mereka mahu lihat, pasukan ada statistik saya, mereka tahu prestasi saya dalam perlawanan. Mereka (peminat) boleh mengkritik saya sepanjang tahun kalau mereka mahu, saya tidak ada masalah. Saya tahu kemampuan saya dan apa yang boleh saya berikan di atas padang,” katanya pada sidang media secara maya selepas sesi latihan di Dubai hari ini.

De Paula secara rasmi menjadi pemain naturalisasi ketiga negara pada Mac lalu, menyusuli Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi yang turut disenaraikan dalam skuad semasa Cheng Hoe.

Sekitar latihan skuad Harimau Malaya. Foto- FAM

Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya dikritik hebat oleh peminat berikutan persembahan hambar ketika kalah 0-4 kepada UAE, dengan De Paula menjadi sasaran utama rasa tidak puas hati peminat selepas penyerang pasukan Johor Darul Ta’zim itu gagal menyerlah.

Malaysia akan meneruskan baki perlawanan pusingan kedua menentang Vietnam di Al Maktoum Stadium, Dubai sebelum menamatkan kempen mereka dalam Kumpulan G bertemu Thailand pada 15 Jun, juga di stadium sama.

Skuad kebangsaan tidak mempunyai pilihan selain menang ke atas Vietnam dan Thailand untuk muncul sebagai antara dua pasukan terbaik peringkat kumpulan, bagi mencerahkan peluang layak secara automatik ke final Piala Asia 2023.

“Kami tahu apa yang perlu kami lakukan, keputusan (perlawanan) ini amat penting bagi kami. Vietnam merupakan pasukan yang bagus dan mereka bermain dengan baik dalam perlawanan terdahulu. Namun kami sangat yakin dapat menjalankan tanggungjawab kami untuk menggembirakan peminat,” katanya.

PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin mempamerkan kelincahan ketika sessi latihan Harimau Malaya. Foto FAM.

De Paula berkata pasukan kebangsaan yang merupakan gabungan pemain muda dan berpengalaman, sentiasa bekerja keras semasa sesi latihan bagi membaiki kelemahan.

“Mereka (peminat) perlu menaruh kepercayaan kepada kami, tiada antara kami yang datang ke sini untuk bercuti,” katanya.

Selepas enam perlawanan, Vietnam mendahului kumpulan dengan 14 mata, diikuti UAE (12 mata), Thailand (9 mata) dan Malaysia, juga dengan sembilan mata, sementara Indonesia di tempat terakhir dengan hanya satu mata.

Berdasarkan rekod sebelum ini, skuad kebangsaan bimbingan Cheng Hoe ini hanya mencatatkan satu keputusan seri dan kalah tiga perlawanan dalam empat pertemuan terakhir menentang Vietnam, dengan Malaysia tewas 0-1 pada aksi pusingan pertama kempen itu di Hanoi pada Oktober 2019.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1051
Kongsi :
Previous post PTPTN: Penangguhan bayaran balik pinjaman dilanjut tiga bulan lagi
Next post SPM 2020 dengan GPN 4.80, adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun
Ubah saiz-+=