SPM 2022: Sokongan pelbagai pihak pacu keputusan membanggakan Melaka
TELOK MAS 8 Jun – Peningkatan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) Melaka yang mencatatkan 4.77 pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 adalah hasil sokongan pelbagai pihak.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, secara keseluruhan keputusan SPM 2022 bagi negeri Melaka menunjukkan pencapaian yang membanggakan.
Beliau berkata, selain usaha dan komitmen para guru, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sokongan beberapa pihak lain juga pendorong kepada kejayaan ini.
“Antara faktor kejayaan Melaka mendapat GPN 4.77 adalah dengan sokongan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) yang banyak memberikan bantuan dan kerjasama dalam melaksanakan pelbagai program
kecemerlangan akademik.
“Begitu juga beberapa pihak lain termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka (MDDNM) yang turut sama menganjurkan kelas tuisyen serta motivasi bahkan menyalurkan bantuan kewangan juga.
“Inisiatif diambil pihak ini adalah untuk membantu meningkatkan pencapaian SPM 2022 dan hasilnya sembilan pelajar mencapai gred cemerlang tertinggi bagi semua mata pelajaran dengan A+ dengan enam mendapat 10A+ dan bakinya 9A+,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2022 Negeri Melaka yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mohd Ghazali Ahmad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu, pada Khamis.
Menurut beliau, peningkatan GPN SPM 2022 juga dibantu dengan loncatan saujana daripada sekolah dari daerah Alor Gajah apabila merekodkan peningkatan bagi peratus kelulusan layak sijil.
“Untuk daerah Alor Gajah memang ia melonjak dengan cemerlang berbanding tahun sebelumnya tetapi peningkatan juga berlaku di daerah Melaka Tengah serta Jasin. Cumanya Alor Gajah meningkat lebih tinggi yang membantu peningkatan GPN,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.