SPST: Panorama Melaka bakal tambah 8 laluan baharu

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 13 September – Sebanyak lapan laluan baharu bas domestik dijangka akan ditambah di Negeri Melaka menerusi peruntukan Program Transformasi Bas Henti-Henti (SPST).

Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd, Rohazam Bakar berkata, dengan penambahan tersebut, ia bakal menjadikan sebanyak 25 laluan bas henti-henti beroperasi di seluruh negeri yang tertumpu di laluan utama Negeri Melaka.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih menunggu perjanjian terbaharu daripada Kementerian Pengangkutan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Menerusi kontrak baharu itu, kita diminta menambah bilangan bas dan frekuensi laluan bas yang mana kita menjangkakan ia akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada November tahun ini.

“Sekarang kita mempunyai 17 laluan bas dan dengan penambahan itu ia akan menjadikan keseluruhan 25 laluan akan diperkenalkan di negeri ini membabitkan kawasan bandar dan laluan utama.

“Kita percaya dengan SPST ini, ia akan memberi penambahbaikan perkhidmatan kepada rakyat Melaka dan secara tidak langsung ia akan membantu jumlah pengguna bertambah, selain meningkatkan keyakinan terhadap pengangkutan awam di Melaka,” katanya kepada pemberita di Melaka Sentral, baru-baru ini.

Tambah Rohazam, selain penambahan laluan bas, beberapa inisiatif lain turut akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Jelas beliau, antara inisiatif terbaharu ialah ‘Journey Planner’ iaitu sebuah aplikasi mudah alih untuk pengguna merujuk tempoh masa ketibaan bas dan segala maklumat mengenai pengangkutan awam.

“Kita jangkakan Journey Planner ini akan dilancarkan sewaktu Persidangan Antarabangsa dan Expo Smart Melaka 2023 (SMIX 2023) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dari 12 hingga 14 Oktober ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2244
Kongsi :
Previous post Gudang lama jadi ‘stesen minyak’ haram
Next post Isu beras perlu ditangani segera – Ahli Parlimen
Ubah saiz-+=