Suami di Pahang, isteri dan kekasih jual dadah di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ALOR GAJAH 22 Julai – Wanita anak dua berstatus isteri orang ditahan polis bersama lelaki dipercayai kekasihnya ketika leka membungkus dadah di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru, lewat malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, wanita anak dua berusia 30 tahun dan kekasihnya berumur 32 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Alor Gajah jam 11.10 malam, hasil maklumat awam.

Menurutnya, pemeriksaan di sebuah bilik rumah lelaki berkenaan menemui lapan peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 89.18 gram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Superintenden Zulkiflee Rashid

“Turut ditemukan, tujuh peket plastik dipercayai syabu seberat 12.15 gram, kerajang (kepingan timah) berisi enam biji pil Erimin 5 disyaki dadah keseluruhannya dianggarkan bernilai RM6,000.

“Polis turut menjumpai alat-alat mengisap syabu dan alat penimbang yang dipercayai untuk kegunaan membungkus dadah.

“Kedua-dua suspek dipercayai aktif menjadikan rumah sewa lelaki itu sebagai tempat membungkus dadah sebelum menjualnya kepada penagih sekitar sejak sebulan lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

DADAH yang dirampas

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis jenis methamphetamine.

“Semakan mendapati lelaki dan kekasihnya itu masing-masing turut mempunyai 11 dan empat rekod dadah.

“Difahamkan, suami wanita terbabit bekerja di Pahang manakala suspek serta dua anaknya tinggal di Melaka dan tidak berjumpa sejak larangan rentas negeri berkuatkuasa,” katanya.

Zulkiflee berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1284
Kongsi :
Previous post Menara Kebudayaan China – Melaka pertama negara dibangunkan di The Sail Melaka
Next post Petugas kesihatan maut, tiga pengsan terhidu gas karbon monoksida ambulans
Ubah saiz-+=