Sub kontraktor rugi RM40,000 ditipu ‘geng Dato Wasir’

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 1 Mac – Seorang sub kontraktor berusia 33 tahun kerugian RM40,000 akibat ditipu satu sindiket penipuan Macau Scam dalam kejadian 26 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya dan memaklumkan dia mempunyai tunggakan bayaran cukai syarikat selama 15 bulan berjumlah RM38,000.

Menurutnya, mangsa menafikan perkara itu memandangkan namanya tidak pernah didaftarkan di atas mana-mana syarikat sebelum panggilan itu disambungkan seorang lagi individu kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Suspek memperkenalkan diri sebagai Sarjan Shahrizal Mansor dan memberitahu mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram dan kes dadah dan kemudiannya menyambungkan lagi panggilan tersebut kepada seorang lagi pegawai berpangkat tinggi dikenali sebagai Dato Wasir.

“Dato Wasir memberitahu mangsa agar memberikan kerjasama dengan memberikan maklumat akaun mangsa untuk tujuan siasatan sekiranya tidak mahu dikenakan waran tangkap.

“Mangsa telah mengikut arahan tersebut dengan memberikan maklumat akaun dan pada masa sama telah menerima nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) dan menyerahkannya kepada Dato Wasir.

“Mangsa kemudiannya berasa curiga dengan perkara tersebut dan telah membuat semakan akaun bank sebelum mendapati terdapat pindahan wang dari akaunnya berjumlah RM40,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Sundra Rajan berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Udang pada keesokan harinya kerana berasa tertipu.

“Hasil semakan polis melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ mendapati nombor akaun suspek didapati terlibat dengan dua laporan polis menggunakan modus operandi yang sama.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

759
Kongsi :
Previous post MBMB bantu pelajar daripada keluarga B40
Next post Garis panduan diwujudkan elak isu potong barisan suntikan vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=