SUK Melaka bersara hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 29 Julai – Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan secara rasminya bersara hari ini selepas berkhidmat memegang jawatan itu sejak Februari 2019.

Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana telah selamat sampai ke penghujung kerjayanya dalam perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang telah dianggotainya sejak 1 Ogos 1989.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana telah selamat sampai ke penghujung kerjaya, insya-Allah.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka, YAB Ketua Menteri Melaka, semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta semua anggota  Perkhidmatan Awam Negeri Melaka di pelbagai peringkat.

“Pohon maaf atas sebarang kesilapan serta kesalahan yang saya lakukan dan dihalalkan makan minum.

“Begitu juga kemaafan saya pohon atas tuturkata serta perlakuan tidak menyenangkan sepanjang kita berurusan selama ini,” katanya kepada MHI.

Dalam pada itu Hasim turut mendoakan agar Negeri Melaka terus maju jaya dan semoga kemajuan serta kejayaan yang dicapai akan menjadikan seluruh rakyat Melaka bahagia serta menggamit warga dunia.

Hasim dilahirkan pada 30 Julai 1961, sebelum berkahwin dengan Datin Seri Zarina Mohd Yusoff adalah lulusan Doktor Falsafah (Pengajian Strategik) di Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah.

Beliau turut mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian (Sains Politik) di Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Selangor serta Diploma Pengurusan Awam (DPA) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Antara pingat atau darjah kebesaran adalah Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM), Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP), Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), Ahli Mahkota Perak (AMP), Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC).

Beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam pada 1 Januari 1989 sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah Dan Tanah Jempol, Negeri Sembilan.

Kerjayanya terus memuncak sehingga memegang jawatan Pengarah di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri pada November 2012.

Selepas itu beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Ketua Menteri Melaka pada 1 Februari 2019.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2967
Kongsi :
Previous post Seorang lelaki warga Bangladesh tertimbus dalam runtuhan pembinaan LRT 3 di Klang
Next post 72 majikan abai keselamatan sosial pekerja didakwa
Ubah saiz-+=