SUK Melaka garis fungsi Kerajaan Caretaker

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 11 Okt – Kerajaan Caretaker hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara/negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Kamel Mohamad.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ini adalah berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel.

“Dalam hal ini, Kerajaan Caretaker tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat, atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan Kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam (public interest),” katanya.

Kamel juga menggariskan peranan dan fungsi Kerajaan Caretaker iaitu:

a) menjalankan tugasan rasmi rutin, termasuk menjalankan kuasa yang diberi di bawah
undang-undang bagi memastikan jentera Kerajaan Negeri berfungsi;

b) mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran Kerajaan Negeri;

c) meneruskan pelaksanaan dasar dan program sedia ada yang mana peruntukan
kewangan baginya telah disediakan;

d) membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar telah
diluluskan oleh Kerajaan Negeri atau peruntukan mengenainya telah diluluskan oleh
Dewan Undangan Negeri seperti Belanjawan tahun semasa; dan

e) mengadakan dan menghadiri majlis-majlis rasmi yang telah dijadualkan bagi
sesuatu projek atau program Kerajaan Negeri.

“Dalam konteks Melaka, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka, dan
berdasarkan konvensyen yang telah diamalkan, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka adalah mengetuai Kerajaan Caretaker dan dibantu oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sedia ada melainkan mereka yang telah meletakkan jawatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1128
Kongsi :
Previous post Pesuruhjaya PAS Melaka sahkan bertanding DUN Duyong
Next post Mini Malaysia kembali ‘bernafas’
Ubah saiz-+=