SUKAN BOLA BALING MASIH POPULAR

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PAYA RUMPUT 4 November – Sukan bola baling masih mendapat tempat dalam kalangan anak muda, khususnya pelajar-pelajar sekolah apabila semakin ramai bakat-bakat baharu berjaya dilahirkan.

Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) Datuk Pandak Ahmad berkata, menerusi penganjuran pelbagai pertandingan, dapat dilihat bakat atlet sukan tersebut juga semakin memberangsangkan.

Mengambil contoh penganjuran Kejohanan Bola Baling Bawah 20 Tahun Kebangsaan yang berlangsung di Melaka, beliau menyifatkan mutu permainan yang ditampilkan semakin meningkat.

“Antara misi dan objektif MAHF adalah untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu dalam sukan bola baling dan kita gembira melihat kejohanan-kejohanan berprestij yang dianjurkan mendapat sambutan hebat.

“Ia jelas menunjukkan bahawa sukan ini masih mendapat tempat dalam kalangan anak muda, malah bakat-bakat baharu ini semakin baik.

“Jadi, kita berharap untuk kejohanan akan datang, akan ada lebih ramai bakat-bakat baharu terus dilahirkan dalam memastikan sukan ini terus subur di negara kita,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Bola Baling Bawah 20 Tahun Kebangsaan di Kompleks Sukan Komuniti Krubong, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Bola Baling Melaka, Mohd Azahari Bahrom; Naib Pengerusi Persatuan Bola Baling Melaka, Zulkiflee Sahak dan Peong Poh Boon serta Setiausaha Eksekutif MAHF, Noraini Kasim.

Dalam pada itu, Pandak turut menzahirkan harapan agar sukan bola baling dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor selepas temasya edisi ke-21 di Sarawak tidak mempertandingkan sukan tersebut.

“Saya yakin selepas Selangor muncul naib johan, mereka akan mempertandingkan kembali sukan ini di SUKMA 2026.

“Buat masa sekarang, kita akan terus memberi tumpuan kepada penganjuran peringkat kebangsaan antaranya Kejohanan Bola Baling Bawah 16 Tahun Kebangsaan di Terengganu dan Kejohanan Terbuka Kebangsaan di Kedah, bulan depan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

177
Kongsi :
Previous post KUAM 2024 ‘JENTIK’ SEMANGAT ANAK BERGELAR JURUTERBANG
Next post TANAH RUNTUH DI PANDAN INDAH: SEBUAH KERETA TERJATUH TEBING
Ubah saiz-+=