Sulaiman beri tumpuan kepada kebajikan rakyat
SERI NEGERI 1 Mac – Sepanjang 100 hari pemerintahan, kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, terus memberikan tumpuan kepada usaha memperkasakan pembangunan, ekonomi dan memperbaiki taraf hidup rakyat khusus yang terkesan akibat pendemik COVID-19 serta bencana alam diluar jangkaan seperti banjir.
Sulaiman berkata, pandemik COVID-19 memberi impak besar terhadap ekonomi Malaysia dan Melaka berikutan turut membabitkan penyusutan nilai ringgit serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, tempias itu memberi kesan kepada sektor ekonomi, seperti perhotelan, peruncitan serta pelancongan mengakibatkan KDNK Melaka menyusut daripada 2.9 peratus kepada negatif 5.9 iaitu berjumlah RM41.03 bilion pada 2020, berbanding
RM43.61 bilion pada 2019.
“Pengangguran di Melaka naik kepada 3.1 peratus pada suku keempat 2021, lebih tinggi berbanding dua tahun sebelumnya iaitu, 2.2 peratus 2020 dan 1.1 peratus 2019.
“Namun kadar itu masih rendah berbanding pengangguran di Malaysia yang mencatat 4.3 peratus. Bermakna, kadar pengangguran Negeri Melaka adalah ketiga terendah, selepas Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor,” katanya ketika berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri Melaka di Seri Negeri, hari ini.
Sulaiman berkata, pelbagai inisiatif sudah dan sedang dilaksanakan untuk membantu anak muda serta rakyat mendapatkan pekerjaan antaranya, penganjuran Mini Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri pada 23 Dis 2021 di Jasin yang menawarkan lebih 50 jawatan dan 940 kekosongan dengan 50 orang peserta berjaya mendapat pekerjaan.
Dia memberitahu bagi Karnival Kerjaya di Alor Gajah dan Melaka Tengah pula, telah berjaya menawarkan pekerjaan kepada
213 pencari kerja dan 570 orang untuk ditemu duga bagi kali kedua.
“Melalui kerjasama dengan PERKESO, kita melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) dan Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP), selain ‘Program Jelajah Prihatin Kerja 2021 Peringkat Negeri Melaka, pada 20 Dis 2021 melalui Jabatan Tenaga Kerja Negeri Melaka.
“Lanjutan itu, Kerajaan Melaka turut menyediakan Skim Dana Kasih Niaga sebanyak RM1 juta kepada peniaga kecil negeri yang berkelayakan, untuk menceburi bidang keusahawanan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.