Sulaiman mahu perkhidmatan awam negeri diperkemas termasuk secara digital

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 22 Julai – Prosedur dan sistem perkhidmatan awam negeri ini akan terus diperkemas dalam norma baharu bagi memastikan khidmat ditawarkan kekal relevan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, semua warga kerja perlu berusaha untuk menambah baik prosedur kerja sedia ada termasuk perkhidmatan secara digital.

“Saya akui, COVID-19 telah merubah landskap perkhidmatan awam, banyak proses kerja biasa perlu diubah kepada perkhidmatan secara digital dan ia bukanlah alasan untuk kita tidak melunaskan tanggungjawab diamanahkan.

“Berikutan itu, kerajaan negeri telahpun membangunkan pelbagai urusan secara dalam talian seperti sistem e-bayar bagi memudahkan transaksi pembayaran dilaksanakan.

“Sistem penyampaian perkhidmatan awam di Melaka mesti terus beroperasi pada tahap optimum termasuk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Jabatan Ketua Menteri Tahun 2021 disiarkan di laman Facebook, di sini hari ini.

Dalam pada itu, berikutan tahun ini adalah tahun perlaksanaan terhadap profesionalisme penjawat awam, beliau menyeru semua kakitangan bergerak pantas membuat penambahbaikan dengan kreatif dan inovatif terhadap kesemua perancangan kerajaan.

“Kita mesti pastikan semuanya dilaksana, ‘get it done, bagi jadi, kasi jadi’, dan ia perlulah diingatkan, kepantasan dalam proses kerja harus disokong dengan peraturan yang ditetapkan.

“Saya juga mahukan semua kakitangan bertindak profesional dalam membuat keputusan kerana ia sangat penting dalam merealisasikan visi dan misi kerajaan negeri.

“Jadikanlah tonggak 5K iaitu komunikasi, kolaborasi, koordinasi, kompetensi dan kongsi matlamat bersama untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam majlis secara maya itu.

Seramai 55 warga Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan 28 orang pegawai menerima Anugerah Khas Perkhidmatan (AKP).

“Saya percaya penganugerahan atas usaha kakitangan terlibat akan menyuntik semangat kepada semua 710 warga kakitangan JKMM selain 5,119 penjawat awam Negeri Melaka untuk terus berkhidmat dengan lebih berdedikasi dan penuh iltizam.

“Saya juga berharap agar anugerah ini menjadi pemangkin kecemerlangan dan motivasi kepada semua kakitangan untuk mencapai visi dan misi negeri ini,” kata Sulaiman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post Peruntukan pembiayaan JanaNiaga dijangka cecah RM1.2 bilion – Tengku Zafrul
Next post Menara Kebudayaan China – Melaka pertama negara dibangunkan di The Sail Melaka
Ubah saiz-+=