Sulaiman mahu perundangan KKP diperkemas, turun kadar kemalangan dan kematian pekerja

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 14 Okt. – Perundangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) perlu diperkemas bagi membantu menurunkan kadar kemalangan dan kematian berkaitan pekerjaan khususnya di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, bagi mencapai matlamat itu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri akan memberi sepenuhnya komitmen terhadap aspek penguatkuasaan.

“Pihak kerajaan melalui JKKP perlu membuat pembaharuan yang ketara melibatkan semua pihak berkepentingan dalam pembentukan dan pelaksanaannya.

“Ia sesuai dengan nilai utama Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 (OSHMP25) iaitu inklusif serta melibatkan komitmen pelbagai agensi selain terpandu dengan piawaian antarabangsa sebagai penanda aras menjelang hujung 2025.

“Kerajaan negeri menyambut baik usaha ini, perundangan KKP juga perlu terus diperkemaskan, sekali gus membantu menurunkan kadar kemalangan dan kematian berkaitan pekerjaan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Webinar OSHMP25 dan perasmian Minggu KKP 2021 Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel di sini, hari ini.

Katanya, usaha penyelidikan pula memainkan peranan penting bagi memastikan adanya peningkatan kualiti yang berterusan melalui penentuan pencapaian KKP semasa.

“Ini untuk melihat prospek pencapaian KKP di masa akan datang seterusnya melonjakkan agenda KKP dan menjadi pemacu pembangunan negara khususnya dalam hala tuju menjadi sebuah negara maju,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

648
Kongsi :
Previous post Majikan, pekerja perlu tingkatkan semula aspek KKP
Next post Polis buka 5 kertas siasatan isu hina TYT, pemimpin
Ubah saiz-+=