Polis buka 5 kertas siasatan isu hina TYT, pemimpin

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 14 Okt. – Polis membuka lima kertas siasatan berhubung penghinaan dan mengeluarkan perkataan jelik ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam serta beberapa pemimpin di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asistan Komisioner Azlan Abu berkata, satu kertas siasatan dibuka berhubung penghinaan terhadap Tun Mohd Ali yang dilakukan beberapa individu menerusi Twitter.

Menurutnya, siasatan dijalankan sebaik menerima laporan pada 7 Oktober lalu dan polis telah menahan seorang lelaki dan perempuan berusia 21 dan 35 tahun di Melaka Tengah, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Katanya, polis turut merampas dua telefon bimbit milik kedua-dua suspek, bagaimanapun semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau.

“Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara minimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 233 AKM 1998 memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak kurang setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Polis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa beretika dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas individu di bawah kesalahan ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Dalam kenyataan berasingan, Azlan berkata, empat kertas siasatan lagi dibuka berhubung kain rentang mengandungi gambar pemimpin politik berserta perkataan-perkataan mengaibkan di Melaka Tengah dan Jasin.

“Tindakan awal telah diambil Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dengan menurunkan kain rentang tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 503 (B) Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, polis memandang serius perbuatan seumpamanya kerana ia boleh membangkitkan kemarahan dan memecahkan keamanan awam.

“Polis juga menasihati masyarakat jangan sengaja mengaibkan pemimpin atau mana-mana orang, jangan membuat, menerbit atau mengedar apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang boleh menyebabkan kegentaran kepada awam dan jangan tularkan isu sensitif menggunakan media sosial.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang terlibat dan saya berharap masyarakat sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu dan membanteras jenayah sebegini daripada terus berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1020
Kongsi :
Previous post Sulaiman mahu perundangan KKP diperkemas, turun kadar kemalangan dan kematian pekerja
Next post Pelabuhan Malaysia tersenarai antara pelabuhan paling efisien semasa pandemik
Ubah saiz-+=