Sulaiman pelawa pelabur ke M-WEZ

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

DUBAI 14 Mac – Melaka hari ini melancarkan Melaka Week di Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan memberi fokus kepada pelaburan di koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ)

Kedudukan strategik M-WEZ di Selat Melaka dianggap sebagai satu kelebihan dan kekuatan untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, M-WEZ adalah lokasi sesuai untuk pelaburan dalam sektor pelabuhan, aktiviti maritim, logistik dan pembuatan.

Berkongsi maklumat mengenai M-WEZ Sulaiman berkata, lokasi itu membabitkan penambakan tapak seluas 23,000 ekar sepanjang 33 kilometer (km).

Jelasnya, lokasi itu akan dibangunkan sebagai pusat kontena, terminal feri dan kapal persiaran, zon bebas cukai, hab logistik, terminal minyak dan gas, kemudahan pembaikan kapal serta aktiviti pertukaran kapal ke kapal (STS).

“Kenapa pelabur mahu kembangkan perniagaan perlu datang ke Melaka, ada banyak sebab. Melaka berada di tengah-tengah antara Kuala Lumpur dan singapura.

“Melaka terletak berhampiran Sumatera, Indonesia iaitu pasaran ekonomi kini sedang pesat berkembang dengan lebih 60 juta penduduk.

“Jarak paling dekat antara kedua-duanya cuma 47 km, bagi perancangan jangka panjang kami bercadang membina rangkaian laluan rel bawah laut merentasi Selat Melaka, menghubungkan Dumai di Sumatera dan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Merasmikan Pelancaran Melaka Week di Expo 2020 Dubai di Pavilion Malaysia, hari ini.

Antara kenamaan hadir pada majlis itu adalah Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Mohd Tarid Sufian; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari; EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof; EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid.

Sulaiman berkata, Melaka juga berada di Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang aktif dengan aktiviti perdagangan rentas sempadan ketika ini.

Satu lagi peluang menarik dikongsi Sulaiman dalam ucapannya adalah mengenai pelancongan perubatan yang sebelum ini menarik ramai rakyat Indonesia yang mahu mendapatkan rawatan berkualiti di Melaka.

“Kestabilan politik semasa juga menyokong pertumbuhan koridor ini. Agensi khusus di peringkat persekutuan, negeri dan daerah juga sedia membantu pelabur berminat untuk datang ke Melaka.

“Malah negeri ini ada lebih 20 institusi pengajian tinggi yang melahirkan tenaga kerja terlatih dalam pelbagai bidang,” katanya.

 

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1201
Kongsi :
Previous post Pecahkan sampul ilmu untuk terus ke hadapan – TYT
Next post Melaka pilihan syarikat gergasi luar negara melabur dalam sektor pembuatan- KM
Ubah saiz-+=