Sultan Johor kurnia DMIJ kepada empat individu

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

JOHOR BAHRU, 23 Mac – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada empat individu bersempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi baginda hari ini.

Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan DMIJ, yang membawa gelaran Datuk kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor Ashari Kasnan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) On Jabbar @ Ja’afar; dan Pegawai Daerah Muar Mustaffa Kamal Shamsudin.

Turut dikurniakan DMIJ yang membawa gelaran Datin Paduka, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor Suhailizan Suliman.

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berangkat pada majlis pengurniaan darjah bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda Tuanku Sultan berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Sementara itu, baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga, Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada empat individu.

Darjah SIJ dikurniakan kepada Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan Dickson Dollah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang Norliyati Md Noor; Setiausaha Bahagian ICT@Johor Ungku Suzana Ungku Mohammad dan Timbalan Pengarah Pendidikan Agama, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Yosree Ikhsan.

Turut berangkat ke majlis pengurniaan darjah bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini hari ini ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Berangkat sama Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1136
Kongsi :
Previous post Banjir: Kerajaan Sabah sumbang 30 enjin sangkut, bot kepada PDRM
Next post Arab Saudi mansuh semua sekatan COVID-19
Ubah saiz-+=