Suntikan semangat untuk calon SPM Kota Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TELOK MAS 9 Januari – Seramai 360 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di bawah Parlimen Kota Melaka menyertai Bengkel Motivasi dan Teknik Menjawab Soalan SPM di Dewan Komuniti KEMAS Telok Mas, di sini, pada Sabtu.

Program anjuran UMNO Kota Melaka itu merupakan yang julung kali diadakan dalam memberi suntikan semangat kepada calon-calon yang akan menduduki peperiksaan hujung bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, program itu juga bertujuan mempertingkatkan lagi kefahaman, keyakinan dan persediaan para pelajar pada pecutan terakhir sebelum peperiksaan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka dalam ucapannya, turut menjanjikan hadiah istimewa kepada anak-anak Parlimen Kota Melaka yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2023.

“Saya sentiasa berusaha gigih untuk memastikan kecemerlangan para pelajar di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas. Sehubungan itu, para pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sila ke Japerun Telok Mas dan mohon mendaftarkan nama dalam senarai Pelajar IPT DUN Telok Mas.

“Saya akan terus menawarkan hadiah RM1,000 sekiranya pelajar IPT tadi berjaya mendapat anugerah Sijil Dekan. Setakat ini telah ada 124 pelajar yang mendaftar dengan Japerun Telok Mas.

“Pada tahun lalu sahaja seramai 16 pelajar telah menerima RM16,000 kerana berjaya mendapat Anugerah Dekan daripada universiti masing-masing,” katanya ketika berucap pada perasmian penutup program berkenaan.

Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri sempat menitipkan pesanan kepada calon SPM agar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas tamat sesi persekolahan.

Jelas beliau, keputusan SPM bukanlah penamat bagi anak-anak ini, sebaliknya banyak peluang membabitkan pelbagai bidang dibuka oleh IPT di negeri ini termasuklah dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Graduan TVET yang akan memperolehi sijil dan diploma mempunyai peluang kerjaya yang terbuka luas kerana negara memerlukan ramai tenaga mahir dalam bidang industri.

“Kebanyakan institusi TVET pula menawarkan kemahiran yang sememangnya menjadi rebutan banyak syarikat pada hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1227
Kongsi :
Previous post Penolong pengurus direman empat hari terima suapan RM18,000
Next post Jambu batu lohan diangkat sebagai ikon, beri pendapatan baharu pengusaha
Ubah saiz-+=