SWM buka kaunter ‘Mobile KITARecycle’ di Jalan Jonker

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 14 Julai – Konsesi Pengurusan Sisa Pepejal SWM Environment negeri akan membuka kaunter ‘Mobile KITARecycle’ setiap bulan bagi memudahkan peniaga dan pengunjung menghantar barangan kitar semula di Jalan Jonker.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kaunter mula beroperasi semalam menerima lebih 25 jenis barangan yang boleh dikitar semula.

Katanya, Jalan Jonker dipilih selepas Taman Botanikal kerana ia dikenal pasti sebagai lokasi janaan sampah yang tinggi.

“Kaunter ini bermatlamat untuk membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan peniaga dan pengunjung selain menyasarkan pengurangan janaan sisa pepejal di lokasi ini.

“Pada program hari ini juga pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengedarkan 100 tong sampah kepada pemilik premis di Jalan Jonker.

“Selain itu, 75 pelekat akan ditampal pada tong sampah sedia ada untuk menambahkan keceriaan bagi Tahun Melawat Melaka 2024 secara berperingkat bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kesedaran Kebersihan di Jalan Jonker, di sini, semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman;Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Mutalib dan Pengerusi Persatuan Peniaga Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo.

Mengulas lanjut, Rais berkata program tersebut turut dijangka dapat memberi tambahan pendapatan kepada peniaga melalui jualan kitar semula.

“Ini yang perlu dimanfaatkan oleh masyarakat, ubah minda, ubah amalan dan tanggapan yang selama ini meletakkan tanggungjawab pengurusan sampah kepada kerajaan semata-mata.

“Diharapkan masyarakat dapat membuka mata dan mengambil peluang untuk melakukan kitar semula sambil jana pendapatan,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1644
Kongsi :
Previous post Lautan manusia bermunajat di Dataran Sejarah
Next post Pelbagaikan penggunaan bahasa di sekolah hadapi cabaran pendidikan digital – Exco
Ubah saiz-+=