SWM main peranan jayakan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BEMBAN 22 November – Menjelang sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) SWM Environment memperkasakan dua strategi bagi menjamin kebersihan di negeri ini sentiasa berada pada tahap terbaik.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, antara aspek diberikan perhatian sepanjang TMM2024 nanti adalah tenaga kerja dan jentera yang akan digunakan dalam kerja-kerja pembersihan.

“Selain itu kami turut memberikan penekanan berkaitan penggunaan teknologi terkini bagi meringankan beban petugas pembersihan, inisiatif ini pada masa yang sama dilihat mampu meningkatkan produktiviti dan motivasi petugas pembersihan.

“Boleh dikatakan untuk menghadapi TMM2024 ini pasukan SWM Environment sudah bersedia dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran ‘Community Engagements Social Research Innovation’ dan Penyerahan Tong Kitar Semula yang dturut dihadiri Ketua Pusat Pengajian, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, UITM Melaka Ts. Dr. Jamaluddin Jasmis, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Chiao, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Norlisam berkata, jika keadaan memerlukan pihaknya bersedia untuk melakukan pengambil pekerja baharu, sekali gus melancarkan lagi kerja pembersihan di negeri ini yang dijangka menerima lebih ramai pelawat pada TMM2024.

Sementara itu, beliau berkata, SWM Environment juga komited untuk meningkatkan lagi tahap kitar semula dalam kalangan penduduk di Negeri Melaka menerusi program KITARecycle.

“Sasaran kami adalah mencapai sehingga 30 peratus tahap kitar semula, perancangan ini adalah sejajar dengan sasaran yang ditetapkan Kerajaan Negeri iaitu sebanyak 40 peratus,” katanya.

“Berikutan itu kami sentiasa melaksanakan aktiviti bersama masyarakat dan komuniti bagi berkongsi maklumat boleh meningkatkan lagi kadar kitar semula di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1160
Kongsi :
Previous post iBin tingkat kesedaran kitar semula
Next post Kesan pihak liat jelaskan cukai taksiran
Ubah saiz-+=