Syukur buka akaun TH sejak usia 8 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PAYA RUMPUT 11 Mei – Berkat menabung hasil dorongan bapa sejak berusia lapan tahun, Ahmad Fauzan Zarimi Kamaruddin, 24, bakal menjadi antara jemaah haji dari Melaka yang akan menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.

Dia juga berasa amat bersukur kerana berpeluang menunaikan ibadah haji bersama abang, adik selain bapanya dan mereka dijadualkan berlepas ke tanah suci 26 Mei nanti.

“Sejak usia lapan tahun saya sudah ada akaun simpanan Lembaga Tabung Haji (TH) dan pada 2008 kami empat beranak membuat pendaftaran bagi menunaikan ibadah haji, syukur selepas 16 tahun saya menerima khabar gembira selepas terpilih menjadi tetamu Allah.

“Alhamdulillah, ini pengalaman pertama saya menunaikan haji dan berniat untuk membantu jemaah-jemaah lain mungkin berdepan kesukaran ketika di tanah suci nanti,” katanya.

Whatsapp Image 2024 05 10 At 7.27.22 Pm
AHMAD Fauzan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini berkata, secara kebetulan khabar gembira itu diterimanya pada hari terakhir dia menjalani latihan industri.

Terdahulu, Ahmad Fauzan merupakan antara 120 jemaah haji yang diraikan dan menerima sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin dalam majlis ringkas berlangsung di Masjid Tun Mohd Khalil Yaakob, Tanjung Minyak, di sini pada Khamis.

Whatsapp Image 2024 05 10 At 7.27.38 Pm
SITI Norzannah.

Sementara itu, seorang lagi jemaah wanita, Siti Norzannah A Rahman, 57, menyifatkan tiada ungkapan yang mampu diluahkan melainkan bersyukur kerana diberi peluang menjadi tetamu Allah selepas 15 tahun menunggu.

Guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Tanjung Minyak ini berkata, lebih manis apabila dia dijadualkan ke tanah suci bersama suami dan anak.

“Ketika mendaftar di TH pada 2009, pegawai bertugas memaklumkan giliran saya mungkin tiba pada tahun ini (2024). Tetapi bergantung juga kepada keadaan, mungkin awal atau terpaksa menunggu tempoh lebih lama.

“Jadi saban tahun saya sentiasa berdoa agar hajat saya tiga beranak dipermudahkan dan Alhamdulillah saya menerima panggilan dari TH awal tahun ini memaklumkan kami terpilih ke tanah suci,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

109
Kongsi :
Previous post Melaka runding bawa kembali kapal Fu Ning
Next post MAIM sasar baik pulih 30 kediaman asnaf
Ubah saiz-+=