MAIM sasar baik pulih 30 kediaman asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

ASAHAN 11 Mei – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bercadang untuk membaik pulih sekurang-kurangnya 30 unit kediaman asnaf pada tahun ini.

Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, menerusi Program Baik Pulih Rumah Asnaf setiap rumah yang terpilih bakal menerima peruntukan anggaran RM25,000 bagi kerja baik pulih.

“Untuk 2024, kita sasarkan lebih kurang 30 unit rumah akan dibaiki dan bantuan ini akan diberikan sekitar RM25,000 bergantung kepada tahap kerosakan yang dihadapi.

“Untuk mana-mana asnaf yang kita kenal pasti layak, MAIM akan menyediakan peruntukan pembaikan rumah pada kadar yang munasabah mengikut keperluan.

“Permohonan perlulah dipanjangkan secara terus kepada pejabat zakat di setiap daerah dan akan diselesaikan dalam tempoh sesingkat yang mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Replika Kunci Program Baik Pulih Rumah Asnaf kepada dua penerima di Kampung Air Repat dan Kampung Pondok Batang, di sini, semalam.

Simbolik penyerahan telah disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Jelas Mohd Hairulamin berkata, sumbangan yang disalurkan itu adalah limpahan rezeki yang disumbangkan oleh pembayar zakat di negeri ini bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Inilah nilai di sebalik pembayaran zakat yang dilaksanakan oleh umat Islam di mana kita akan terus membantu golongan yang memerlukan supaya dapat menikmati kehidupan seperti orang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

221
Kongsi :
Previous post Syukur buka akaun TH sejak usia 8 tahun
Next post Senandung Anak Melaka lagu ‘berhantu’?
Ubah saiz-+=