Senandung Anak Melaka lagu ‘berhantu’?

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 11 Mei – Lagu tema Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) Senandung Anak Melaka dendangan Yasser Fikri Abu mencetus fenomena tersendiri apabila menjadi telah dinyanyikan dalam pelbagai versi bersama enam penyanyi wanita terkenal tanah air.

Lagu ciptaan Fauzi Mohammad dan Siso Kopratasa itu mula mendapat perhatian apabila dinyanyikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Yasser pada sambutan TMM2024 dan Ambang Tahun Baharu 2024, 31 Disember lalu.

Selepas itu, lagu berkenaan terus dimainkan pada pelbagai acara dan program anjuran Kerajaan Negeri Melaka.

Yasser Fikri atau lebih dikenali sebagai Yasser Atak sama sekali tidak menyangka lagu berkenaan mempunyai aura tersendiri sehingga dapat dinyanyikan bersama enam artis ternama seperti Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Azharina, Noraniza Idris, Asmidar dan Haiza.

Kata anak jati Klebang itu, walaupun ada lebih banyak lagu lain yang lebih popular di negara ini, namun Senandung Anak Melaka mencipta kelainan tersendiri apabila dinyanyikan dalam pelbagai versi bersama artis berbeza.

“Bukan saya sahaja yang bangga, malah komposer dan penulis lirik juga tidak menyangka lagu ini sampai ke tahap ini.

“Siapa dapat bayangkan lagu ini akan dinyanyikan bersama enam artis wanita popular dan tidak mustahil sehingga hujung tahun ini, semua penyanyi wanita dalam negara mungkin menjadi pasangan duet saya,” katanya berseloroh.

Dia berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan Podcast Melaka Hari Ini, ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di Studio Melaka TV, di sini.

Menurut Yasser Fikri, jika diberi peluang, dia mahu terus menyanyikan lagu berkenaan bersama lebih ramai artis pada apa jua acara yang diadakan sepanjang TMM2024.

Antara impiannya ialah berduet bersama penyanyi wanita legenda dalam irama lagu-lagu asli seperti Fatimah M Amin, Maria Bachok dan Aspalela Abdullah.

“Saya tidak akan sesekali menetapkan siapa pasangan duet kerana semua saya akan terima. Saya bukan seorang yang terlalu ‘demanding’.

“Tapi saya harap, menjelang hujung tahun ini, saya dapat menyanyikan lagu ini bersama 30 penyanyi berbeza, insya-Allah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

199
Kongsi :
Previous post MAIM sasar baik pulih 30 kediaman asnaf
Next post JPJ lancar nombor plat FFF, sasar kutip RM20 juta
Ubah saiz-+=