JPJ lancar nombor plat FFF, sasar kutip RM20 juta

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER MOLEK 11 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan nombor plat khas FFF bersempena sambutan Hari Ulang Tahun JPJ Ke-78.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, nombor siri istimewa itu dibuka untuk bidaan bermula hari ini dan berakhir pada 10 malam, 15 Mei sebelum keputusan penawaran diumum keesokan harinya.

Menurut Anthony, pihaknya menyasarkan kutipan hasil RM20 juta bagi bidaan nombor siri itu.

“Pengenalan nombor siri baharu itu merupakan kesinambungan pada setiap kali ulang tahun hari JPJ dengan sebelum ini pernah mengeluarkan siri seperti F, FA, FB, FC dan FF.

“Malah, awal tahun ini turut dilancarkan nombor plat GOLD yang berjaya mencapai pulangan hasil RM17 juta, jadi kita berharap untuk siri FFF ia mampu mencapai nilai kutipan RM20 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, Digitalisasi Memacu Profesionalisme JPJ di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Tiang Dua, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pengangkutan Malaysia Dr. Nor Fuad Abd Hamid; Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Datuk Rospiagos Taha dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, kutipan hasil daripada bidaan itu akan disalurkan kembali kepada masyarakat menerusi pelbagai insentif.

Jelas beliau, antara insentif tersebut ialah pemberian topi keledar secara percuma, selain pelbagai subsidi berbentuk kebajikan.

“Kita telah berbincang dengan Kementerian Kewangan yang mana sebahagian hasil daripada langkah kreatif kita membuat penjualan nombor plat istimewa ini akan disalurkan semula menerusi inisiatif kebajikan kepada rakyat,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post Senandung Anak Melaka lagu ‘berhantu’?
Next post Pameran aset Sultan Ibrahim antara tarikan Melaka Bike Week 2024 Jun depan
Ubah saiz-+=