‘Syukur dan terima kasih bantu kami’

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Sept. – Nelayan yang hidup dibelenggu kemiskinan menyifatkan tindakan kerajaan menaikkan semua Elaun Sara Hidup Nelayan kepada RM300 sebulan berbanding RM250 sebelum ini sebagai rahmat buat mereka.

Bagi mereka, langkah berkenaan bukan setakat mengurangkan beban kos sara hidup, malah membantu mereka menguruskan kewangan keluarga secara lebih berkesan.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur Elaun Sara Hidup Nelayan dinaikkan semula kepada RM300 sebulan berbanding hanya RM250 sebelum ini.

“Walaupun setengah pihak mungkin menganggap kenaikan RM50 itu sangat kecil, ia tetap amat bermakna bagi kami yang hidup ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang,” kata nelayan, Jantan Bechik, 68.

Beliau berkata, selain mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan kenaikan itu semalam, beliau juga berharap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak menghadapi masalah untuk berbuat demikian kerana elaun itu mampu mengurangkan beban perbelanjaan harian.

Katanya, nelayan yang hidup dibelenggu kemiskinan menghadapi masalah untuk membiayai kos sara hidup apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) menurunkan elaun berkenaan daripada RM300 kepada RM250.

Tindakan itu diibaratkannya sebagai sudah jatuh ditimpa tangga kerana nelayan terpaksa meneruskan kehidupan dengan pendapatan yang tidak menentu, ditambah pula dengan elaun yang dikurangkan.

Mohd Ali Abu Bakar, 53, berkata pengumuman Muhyiddin semalam disifatkannya sebagai pucuk dicita, ulam mendatang kerana selama ini beliau memang berharap elaun berkenaan dinaikkan semula kepada RM300.

“Harga barang sekarang tidak pernah turun, malah sentiasa naik dan Elauan Sara Hidup Nelayan yang dipotong RM50 sebelum ini tidak sepatutnya berlaku kerana nelayan adalah antara golongan termiskin di negara ini.

“Alhamdulillah, kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin amat prihatin terhadap nasib nelayan dan saya harap elaun itu dikekalkan tanpa ada sebarang pengurangan lagi pada masa depan,” katanya di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, ‘poket’ nelayan bukan seperti ‘poket’ kakitangan awam atau swasta yang mempunyai pendapatan tetap dan sering kali nelayan terpaksa menghadapi kesukaran untuk membiayai perbelanjaan harian lantaran pendapatan yang tidak menentu.

Kesukaran itu bertambah membebankan jika tiba musim laut bergelora yang mengakibatkan nelayan tidak dapat turun ke laut mencari rezeki untuk keluarga.

Views:

615
Kongsi :
Previous post Piala Tun Abdul Razak: Hoki wanita Melaka mula langkah kanan
Next post Labur RM4,000 pasang pagar elektrik
Ubah saiz-+=