‘Syukur dibenarkan 100 jemaah solat Aidiladha’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TANJUNG BIDARA 20 Julai – Tiada ungkapan lain diungkapkan dari mulut lelaki berusia hampir 100 tahun, selain bersyukur atas keizinan diberikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kepada 100 jemaah solat sunat Aidiladha di masjid kariah, hari ini.

Baba Ketol, 95, berkata dia amat bersyukur kerana doanya dan jemaah lain dimakbulkan Allah berbanding jemaah hanya seramai 12 orang bagi solat fardu sebelum ini.

“Alhamdulillah, sejak sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu, JAIM membenarkan hanya 12 jemaah solat fardu.

BABA (kiri) ketika sertai solat Aidiladha di masjid tersebut awal pagi tadi.

“Saya berdoa agar lebih ramai jemaah dibenarkan solat dan Alhamdulillah, jemaah solat fardu dinaikkan kepada 50 mulai 15 Julai lalu dan solat sunat Aidiladha bagi masjid kariah seramai 100 orang,” katanya selepas menunaikan solat itu di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, di sini hari ini.

Seorang lagi kariah masjid tersebut, Jamaludin Hamzah, 64, berkata dia terharu kerana diberikan peluang pengurusan masjid untuk menunaikan solat berkenaan berdasarkan sistem pemilihan dibuat pengerusi dan ahli jawatankukasa (AJK) masjid itu.

“Alhamdulillah, 100 jemaah dibenarkan solat sunat hari ini berbanding hanya 50 orang solat fardu,” katanya.

Mulai 15 Julai lalu, JAIM menetapkan jumlah maksimum jemaah bagi solat fardu di masjid kerajaan, kariah dan institusi seramai 50 orang berbanding hanya 12 orang sebelum itu.

Bagaimanapun, jemaah bagi solat Jumaat kekal 250 orang bagi masjid kerajaan manakala masjid kariah dan institusi (100) dan surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat (50).

Bagi solat sunat Aidiladha, JAIM membenarkan tujuh masjid kerajaan mempunyai 500 jemaah manakala masjid kariah dan lima masjid institusi seramai 100 orang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

593
Kongsi :
Previous post 5,594 kenderaan diarah patah balik
Next post Bakul Prihatin Negara boleh dimohon menerusi tiga talian
Ubah saiz-+=