Tabung derma perlu ada pengawasan – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 17 Mac – Tabung kutipan derma tidak boleh diletakkan di premis perniagaan tanpa pengawasan, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, setiap derma yang diberikan juga perlu mempunyai resit khusus bagi membuktikan ia adalah milik badan bukan kerajaan (NGO) yang telah dibenarkan.

“Kita juga menjalankan penguatkuasaan atas kesalahan pungutan derma yang tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan melanggar peraturan.

“Jika ada NGO dibenarkan membuat kutipan derma, akan ada syarat-syarat dikenakan dan mereka tidak boleh ambil mudah.

“Antaranya tabung derma itu perlu ada orang kendalikan, setiap derma ada resit diberikan dan tidak boleh letak tabung di kedai makan tanpa pengawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Ops Cegah Jenayah Syariah di sekitar Ayer Keroh dan Melaka Baru di sini, semalam.

Terdahulu, Rahmad telah melancarkan Kempen Menghormati Ramadan Tahun 2024 sempena Bulan Pelancongan Agama Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Melaka Sentral.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Ustaz Kamal Nadzim Abdullah.

Tegas Rahmad, jika terdapat NGO yang melanggar peraturan berkaitan kutipan tabung derma, mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.

“Pendakwaan kesalahan dilakukan akan dikenakan terhadap pemilik tabung dan kemungkinan besar mereka tidak dibenarkan lagi membuat derma.

“Mereka ini sebenarnya tahu, tetapi sengaja tidak mematuhi atau melanggar peraturan ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

530
Kongsi :
Previous post Ops BADIL MBMB ‘bedil’ bazar Ramadan kotor
Next post Paramedik Komuniti ubah sistem kesihatan, mentaliti rakyat
Ubah saiz-+=