Ops BADIL MBMB ‘bedil’ bazar Ramadan kotor

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 17 Mac – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menggerakkan Operasi Bazar Aidilfitri/Ramadan (Osp BADIL) bagi memastikan kebersihan di setiap tapak penganjuran bazar berada dalam keadaan memuaskan.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, Ops BADIL yang bermula pada 15 Mac itu akan digerakkan setiap hari dikesemua tapak Bazar Aidilfitri dan Bazar Ramadan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Jelasnya, di bawah pentadbiran MBMB terdapat 23 Bazar Ramadan dan lima Bazar Aidilfitri yang mana Ops BADIL akan dilakukan pada jam 12 tengah malam dan 8 pagi setiap hari.

“Ops ini digerakkan bagi memastikan setiap tapak penganjuran berada dalam keadaan bersih dan pihak penganjur perlu memainkan peranan dengan memastikan kerja pembersihan dijalankan setiap hari iaitu sebelum jam 12 tengah malam dan 8 pagi.

“Ini kerana kita dapati ada di antara penganjur tapak bazar mengambil mudah faktor kebersihan ini apabila membiarkan sampah berlonggok selepas operasi perniagaan.

“Di pihak MBMB kita tidak mahu kawasan tapak bazar berada dalam keadaan tidak selesa, kotor dan adanya bau kurang menyenangkan sedangkan lokasi ini terdapat jualan makanan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, setakat 15 Mac MBMB telah mengeluarkan dua kompaun dan satu Notis Untuk Tindakan (NUT) kepada penganjur bazar yang kotor.

“Sepatutnya penganjur perlu melupuskan sampah yang terhasil setiap melalui kontraktor yang dilantik jadi apabila didapati sebaliknya tindakan kompaun dikeluarkan.

“Setakat ini dua kompaun yang setiap satu bernilai RM500 dan satu NUT di bawah Seksyen 47(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan dikeluarkan kepada penganjur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

870
Kongsi :
Previous post Fidyah: 811 pelajar B40 terima sumbangan wang saku
Next post Tabung derma perlu ada pengawasan – Exco
Ubah saiz-+=