Tabung Musa’adah peruntuk RM600,000 bantu golongan terkesan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TELOK MAS 2 Feb. – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukkan RM600,000 melalui Tabung Musa’adah bagi menyalurkan bantuan kit makanan kepada golongan terjejas di negeri ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Md Rawi Mahmud berkata, daripada jumlah itu sejumlah RM400,000 bagi 10,000 kit makanan telah diagihkan bagi fasa pertama.

“Bagi fasa kedua bermula semalam sebanyak 5,000 kit makanan lagi akan diagihkan dengan jumlah peruntukan RM200,000.

“Kita buat dua kali yang mana fasa pertama selesai diagihkan dan dihantar ke masjid-masjid, Japerun dan sebagainya,” katanya.

Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md Rawi Mahmud. Gambar : Rasul Azli Samad

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan bantuan kit makanan kepada nelayan yang diwakili Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri di Kompleks LKIM Sungai Duyong, Padang Temu, hari ini.

Jelas Rawi, semalam MAIM telah mengagihkan sebanyak 1,069 kit makanan buat mereka yang terkesan.

“Untuk hari ini kita beri 1,176 kit makanan untuk nelayan, persatuan peniaga uptown (200 kit makanan) dan persatuan bas sekolah (250 kit makanan).

“Untuk esok pula 1,000 kit makanan diagihkan pada pertubuhan lain seperti villa Rumah Harapan Melaka, Teduhan Kasih Melaka, persatuan pemandu teksi dan lain-lain,” katanya lagi.

Katanya, jika ada keperluan MAIM akan meneruskan sumbangan bantuan kit makanan tersebut bagi fasa ketiga.

“Tabung Musa’adah ini hasil sumbangan korporat, pembiayaan baitumal di bawah pembiayaan fidyah masyarakat Islam serta sumbangan individu. Justeru kita mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak yang prihatin,” katanya.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim dan Pengarah LKIM Negeri, Rosli Mustapa.

Views:

548
Kongsi :
Previous post Pejuang sudah kemuka rayuan berkaitan pendaftaran
Next post PKP 2.0 dilanjutkan bermula 5 hingga 18 Februari
Ubah saiz-+=