Tahap kebersihan bazar Ramadan Melaka memuaskan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

REMBIA 16 Mac – Tahap kebersihan bazar Ramadan di Negeri Melaka berada pada tahap memuaskan apabila merekodkan skala 75 peratus ke atas dalam tempoh empat hari pertama Ramadan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, penilaian itu hasil pemeriksaan ke atas 392 premis makanan di tapak bazar Ramadan seluruh negeri oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka bermula 12 Mac lalu.

Meskipun begitu, beliau tetap menasihati peniaga untuk terus mengutamakan kebersihan sepanjang menjalankan operasi di bulan Ramadan.

“Ini termasuklah menitikberatkan aspek keselamatan makanan semasa melakukan penyediaan bagi memastikan makanan dijual selamat untuk pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melakukan Walkabout Bazar Ramadan: Keselamatan Makanan Di Bazar Ramadan 2024, di Bazar Ramadan Alor Gajah, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Menurut Hee Sem, selain bazar, JKN Melaka turut membuat pemeriksaan ke atas enam kilang ais dan 34 hotel yang menyediakan bufet Ramadan.

Jelas beliau, daripada jumlah itu sebanyak 160 notis amaran, selain 12 kompaun dengan nilai keseluruhan RM10,300 dikeluarkan membabitkan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Sebanyak 11 kompaun dengan nilai RM7,800 dikeluarkan kepada pihak hotel selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan membabitkan aspek kebersihan.

“Manakala satu lagi kompaun bernilai RM2,500 dikeluarkan kepada kilang ais membabitkan kesalahan berkaitan isu suntikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

706
Kongsi :
Previous post Kemesraan Ab Rauf tawan hati rakyat Melaka
Next post Nikmat sate tulang, kambing golek Hotel Holiday Inn
Ubah saiz-+=