Tahun Baru Cina lebih bererti buat penghuni Penjara Sungai Udang

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SUNGAI UDANG 22 Februari – Riak wajah ceria jelas kelihatan diwajah 11 penghuni dari Penjara Sungai Udang, di sini, apabila berpeluang berjumpa dengan anak, isteri dan ibu bapa.

Kumpulan banduan itu adalah yang terpilih mengikuti Program Jalinan Kasih Sempena Hari Perayaan Tahun Baru Cina 2024, hari ini.

Pengarah Penjara Sungai Udang, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) S. Gunasegaran berkata, Program Jalinan Kasih itu adalah antara insiatif Jabatan Penjara Malaysia (JPM) bagi memperkukuhkan ikatan kekeluargaan di antara penghuni dan keluarga.

“Untuk kali ini seramai 11 banduan terpilih untuk meraikan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarga terdekat mereka. Kita ingin mengeratkan hubungan bersama keluarga tersayang.

“Jika sebelum ini sepanjang berada di penjara mereka hanya dapat berkomunikasi melalui interkom tetapi pada program ini penghuni dapat duduk semeja dan melepaskan rindu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jalinan Kasih Sempena Hari Perayaan Tahun Baru Cina 2024, di Penjara Sungai Udang, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Cina Pejabat Ketua Menteri, Yong Fun Juan.

Menurutnya, sepanjang tahun, JPM akan melaksanakan program yang sama pada setiap musim perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.

“Menerusi program ini, penghuni tidak akan rasa terpinggir, sebaliknya masih ada keluarga yang mengambil cakna terhadap mereka.

“Malah program ini juga dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan penghuni apabila mendapat sokongan daripada insan tersayang,” katanya.

Jelasnya, selain dapat bertemu empat mata bersama keluarga pada Program Jalinan Kasih yang diadakan, penghuni juga berpeluang mempamerkan bakat mereka apabila turut diadakan Pertandingan Kaligrafi Tulisan Cina.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post Terjun longkang elak diri dicekup
Next post Penjawat awam Melaka perlu tunjuk komitmen tinggi
Ubah saiz-+=